Sunday

Belajar Pintar: Suasana Belajar Yang Berkesan

Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D - Laman MAP

Setiap pelajar mempunyai keinginan yang unik dalam memilih tempat dan suasana yang paling sesuai untuk belajar. Oleh itu, suasana belajar yang berkesan hanya dapat ditentukan oleh pelajar itu sendiri. Ikhlas pada diri anda. Tentukan sendiri suasana bagaimana yang paling anda gemari. Misalnya, sekiranya anda seorang pelajar yang gemarkan suasana yang ramai orang, maka perpustakaan mungkin pilihan terbaik anda. Sekiranyanya pula, anda rimas dengan keadaan tersebut pilihlah tempat yang sunyi, yang agak terpencil dan jauh dari orang ramai. Jangan paksa diri anda untuk bersetuju dengan suasana belajar orang lain. Jangan ke perpustakaan hanya disebabkan semua rakan-rakan belajar di sana. Anda mungkin ke perpustakaan hanya untuk mencari bahan tetapi untuk belajar ia tidak semestinya disitu juga.

Suasana dan persekitaran yang tersusun, kemas, dan bersih membolehkan anda belajar dengan mudah. Ia juga dapat mencetuskan minda yang positif dan tenang. Persekitaran sebegini membolehkan anda memberikan tumpuan dan fokus yang maksimum terhadap bahan-bahan yang dipelajari. Susun atur perabut dan kepekatan cahaya juga turut mempengaruhi mood belajar anda. Oleh itu mulalah ubahsuai bilik anda sekarang. Sekiranya anda tidak mempunyai bilik yang berasingan maka memadailah sekiranya anda boleh dapatkan satu ruangan atau sudut yang agak terpencil dan jauh dari gangguan. Pasti ada ruangan dalam rumah anda yang boleh anda gunakan sebagai tempat belajar anda. Elakkan dari belajar di dapur atau di ruang tamu. Terlalu banyak gangguan dikedua-dua tempat ini disamping menjadi laluan utama setiap penghuni rumah.

Untuk belajar, anda hanya memerlukan satu kerusi, satu meja dan satu rak. Tidak semestinya ia baru dan cantik yang penting anda tahu bagaimana untuk menghias dan menyusunnya. Ubah susun atur kerusi dan meja ini setiap tiga bulan. Mungkin pada awalnya meja menghadap dinding dan selepas tiga bulan ubah pula ia menghadap tingkap. Dengan cara ini anda dapat rasakan perubahan persekitaran yang membuatkan anda rasa seronok untuk belajar. Begitu juga rak buku anda, letakkannya di tepi, kemudiannya di depan atau di belakang. Lakukan apa sahaja yang penting anda dapat rasakan keinginan untuk belajar timbul dihati setelah anda mengubah susun atur perabut ini. Sediakan juga satu ruangan pada dinding, yang mudah anda lihat, untuk anda pamirkan senarai tindakan anda (to do list), carta reputasi akademik anda, senarai projek dan jadual perancangan jangka pendek serta jangka panjang anda. Ada diantara pakar kemahiran belajar yang berpendapat bahawa muzik boleh meningkatkan tumpuan dan keseronokan belajar. Ini disebabkan ia berkait rapat dengan fungsi otak kanan anda.

Sekiranya anda seorang yang gemar mendengar radio ketika belajar, maka hentikan tabiat buruk ini. Gantikannya dengan memainkan lagu-lagu latar berbentuk instrumental. Untuk kesan yang terbaik, muzik ini mestilah dimainkan pada kadar bunyi yang sederhana tinggi agar tidak mengganggu anda. Muzik yang paling sesuai ialah instrumental klasik yang dimainkan oleh pemuzik seperti Vivaldi, Bach, Bernstain dan lain-lain. Muzik ini sangat sesuai kerana kebanyakannya menggunakan tempo 60 bit seminit. Iaitu sama seperti kadar degupan jantung purata anda ketika rehat.

Dengan Muzik
* Denyutan dan tekanan darah menurun.
* Gelombang otak perlahan.
* Otot-otot rileks.

Tanpa Muzik
* Denyutan dan tekanan darah meningkat.
* Gelombang otak pantas.
* Otot-otot tegang.

Gantungkan gambar-gambar kejayaan anda (jika ada) atau sijil-sijil pencapaian anda di ruangan bacaan tersebut. Gambar-gambar ini mungkin kejayaan anda dalam sukan atau peraduan-peraduan tertentu. Ia akan mengingatkan anda bahawa anda boleh berjaya dan boleh menjadi juara dalam hidup anda. Gambar tersebut membuktikan yang anda pernah melakukannya sebelum ini dan anda akan melakukannya pula dalam bidang pelajaran.

Gantungkan juga katajaya-katajaya yang memberikan anda rangsangan yang positif. Anda mungkin mahu memetik kata-kata yang diperolehi dalam kursus Motivasi Alihan Pelajar untuk dijadikan azimat penguat semangat.

No comments:

Post a Comment