Sunday

Selamat Hari Bapa

Islam & Parents



Sumber: Arkib Utusan online 28 Mac 2008

Bapa fasiq tidak layak menjadi wali

Soalan:
Saya ingin bernikah tidak lama lagi. Saya tahu saya perlu diwalikan nanti, tetapi bapa saya bukanlah orang yang layak mewalikan saya. Setelah dia bernikah lagi lima belas tahun yang lepas, dia telah melupakan kami sekeluarga. Bertanya khabar pun tidak pernah, inikan pula nak beri duit kepada kami anak beranak.

Kini, apabila saya nak bernikah, saya terpaksa minta izin dia pula. Setahu saya, ada syarat-syarat kelayakan untuk menjadi wali. Pada pendapat saya, seorang bapa yang tidak bertanggungjawab tidak layak menjadi wali. Adakah cara lain untuk saya melangsungkan pernikahan ini mengikut adab dan aturan yang sempurna?

Aliya Ashraf,
Kelantan

Jawapan:
Menurut Mazhab Shafie, wali merupakan satu keperluan semasa pernikahan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama tentang mereka yang berhak menjadi wali nikah dan susunan keutamaannya, tetapi mereka bersetuju bahawa seorang wali haruslah sempurna akalnya, sudah mencapai umur dewasa (baligh) dan beragama Islam.

Namun, dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kelantan) yang lama meletakkan syarat-syarat yang perlu ada bagi seorang wali. Antaranya, seorang yang layak menjadi wali adalah orang yang tidak fasiq, iaitu tidak melakukan apa-apa dosa besar dan tidak selalu melakukan dosa-dosa kecil.

Oleh itu, jika melihat kepada syarat kelayakan ini, seorang bapa yang tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa sememangnya seorang yang fasiq dan kelayakannya sebagai seorang wali boleh dipersoalkan.

Mengenai prosedur pernikahan yang harus saudari lalui, seksyen 13 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kelantan) 2002 menyatakan sesuatu pernikahan memerlukan persetujuan:

(a) kedua-dua bakal pengantin; dan

(b) wali pihak perempuan; atau

(c) Hakim Syariah yang mempunyai bidangkuasa di mana pihak perempuan itu bermastautin atau seorang yang diberi kuasa untuk menjadi wali oleh Hakim Syariah itu,

Seksyen tersebut antara lainnya menyatakan keperluan wali atau penggunaan wali hakim bagi memastikan sesuatu pernikahan tersebut diiktiraf dan membolehkan ia didaftarkan.

Saudari perlu merujuk kepada Mahkamah Syariah Kelantan bagi prosedur penggunaan wali hakim sebagai wali saudari. Mahkamah akan mengadakan perbicaraan sebelum kebenaran bagi wali hakim diberikan. Saudari perlu mengemukakan dua orang saksi. Sila bawa salinan kad pengenalan mereka bagi proses permohonan. Saudari bolehlah menyatakan kepada mahkamah sikap tidak bertanggungjawab bapa saudari itu yang menjadi sebab utama dia tidak layak menjadi wali.

Mahkamah akan menetapkan tarikh bicara dan saudari akan diminta hadir bagi tujuan perbicaraan.

------------------------
Keruntuhan akhlak ini dapat dilihat dari pelbagai sudut. Antara punca yang dikenal pasti adalah seperti berikut;

1. Salah satu faktor yang dikaitkan dengan keruntuhan akhlak remaja adalah penglibatan dalam jenayah. Remaja yang terlibat dalam jenayah bukan sahaja datang daripada keluarga yang miskin tetapi juga keluarga berada, malah segelintir daripada mereka berasal daripada keluarga yang mempunyai latar belakang yang baik.

Justeru, bolehlah dikatakan bahawa punca-punca keruntuhan akhlak yang utama adalah kemerosotan dari segi asuhan, didikan, bimbingan serta kawalan oleh ibu bapa atau penjaga. Selain itu, tekanan hidup, sikap mengejar kemewahan serta penglibatan dalam aktiviti sosial lain menyebabkan ibu bapa dan anak kurang mempunyai masa atau kesempatan untuk bercakap, berbincang, berdamping antara satu sama lain. Malah ada yang jarang bersua muka. Keadaan ini menyebabkan remaja membawa cara hidup sendiri tanpa panduan dan pengawasan ibu bapa.

Keluarga yang terlalu mewah cara hidupnya juga menyebabkan keruntuhan disiplin remaja. Sebagai contoh, ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak kerap memberikan wang saku yang terlalu banyak. Perbuatan ini menyebabkan mereka mudah dipengaruhi oleh remaja lain yang bersuka-suka. Kesan pergaulan bebas dan terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya yang rosak akhlak akan memburukkan lagi keadaan. Juga sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang kelakukan dan pergaulan anak remaja mendorong pada kerosakkan ahklak. Remaja yang terlalu awal terdedah kepada alam masyarakat yang mempunyai sikap yang kompleks tanpa bimbingan mencukupi daripada ibu bapa juga merupakan salah satu faktor keruntuhan akhlak.

Antara punca-punca lain keruntuhan akhlak yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan adalah alam rumah tangga yang tidak teratur, perpisahan ibu bapa, pertengkaran yang kerap berlaku dalam keluarga, keadaan sosio-ekonomi yang sempit, suasana rumah tangga yang tidak harmonis dan tenteram serta tidak keupayaan pihak penjaga mengawasi pendidikan anak-anaknya boleh juga membawa kepada kancah keruntuhan moral.

Justeru, sebagai ibu bapa dan anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya menjalankan kewajipan dengan merancang aktiviti, mengenal pasti masalah anak, memberi nasihat, pedoman, memberikan kemudahan-kemudahan serta mengawal selia anak sepanjang masa.

2. Pengaruh persekitaran, luaran dan media massa juga sentiasa membentuk perilaku para remaja yang masih mentah dalam menghadapi cabaran hidup. Pelbagai dorongan yang kurang sihat dipaparkan melalui persekitaran ini yang seterusnya menyebabkan mereka terikut-ikut dengan pengaruh ini. Lantaran itu untuk memenuhi keinginan ini, mereka merayau-rayau di pusat-pusat membeli-belah, pusat permainan video dan secara tidak langsung terlibat dalam pergaulan bebas.

3. Pengaruh di sekolah juga penting dalam pembentukkan akhlak remaja. Tekanan yang dihadapi pelajar semasa di sekolah kerana tumpuan terpaksa diberikan dalam akademik serta guru yang kurang profesional dalam menangani masalah pelajar yang bermasalah akhirnya menyebabkan pelajar mengambil jalan mudah untuk keluar daripada masalah itu dengan terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang kurang sihat. Situasi ini didorong oleh kurang perhatian daripada ibu bapa di rumah.

Cara Mengatasi Masalah

Perbincangan mengenai keruntuhan ahklak remaja adalah berkisar isu pelajar remaja. Justeru, strategi mengatasi masalah seharusnya ditumpukan pada golongan remaja ini. Berikut beberapa saranan:

Peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah memperhatikan setiap gerak-geri atau pergerakan anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah sentiasa mengetahui dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasai masalah tersebut. Ibu bapa juga seharusnya mengetahui rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak mereka berkawan dan bergaul dengan mereka yang mempunyai kedudukkan moral yang baik. Selain itu ibu bapa hendaklah menghabiskan sebahagian daripada masa seharian bersama anak-anak mereka dengan memberikan keyakinan, keberanian, mewujudkan sikap positif terhadap masalah, emosi dan keputusan. Selain itu tingkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni, motivasi, melatih anak cara bersopan, prinsip-prinsip akauntabiliti, tepati janji, berketerampilan, menunjukkan keperibadian yang mulia, amanah, sanggup menerima kelemahan diri serta meneroka potensi anak. Ibu bapa hendaklah menjadi role model kepada anak.



Sumber Utusan Malaysia 2 Mei 2008

Dilema seorang ayah: Anak gadis penagih 'ice'

SEORANG sukarelawan, Lew Pik Svonn sedang mengajar kanak-kanak di Rumah Nur Salam di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 1 Mei - Apa perasaan anda apabila anak gadis kesayangan menjadi penagih syabu atau 'ice'.

Itulah hakikat yang perlu ditanggung oleh seorang bapa yang dikenali sebagai Salim (bukan nama sebenar), 45, apabila anak gadisnya yang baru berusia 20 tahun terjebak dengan najis dadah.

Salim ketika ditemui di Rumah Nur Salam, Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, baru-baru ini, menyerahkan anaknya yang dipanggil Kak Long kepada Penyelaras rumah tersebut, Arfidah Ab. Latif, sebagai ikhtiar untuk memulihkan anak gadis itu daripada terus hanyut kerana dadah.

"Hampa dan kecewa hati ini apabila mendapat tahu anak saya mengambil dadah jenis methamphetamine hydrochloride atau 'ice'," katanya yang berasal dari utara tanah air.

Beliau berkata, rahsia anaknya terjebak dengan dadah hanya terbongkar setelah remaja itu melarikan diri pada bulan lepas.

"Selama lima hari dia lari dan setiap hari saya tidak berputus asa berusaha menjejakinya sehinggalah saya berjaya menemuinya semula," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh lima hari itu Kak Long menumpang di rumah seorang rakan dan mujurlah ibu bapa kepada rakan anaknya itu menghubunginya.

Menurut Salim, beliau buntu dan tidak tahu di mana silapnya hingga anak gadis kesayangan itu hanyut dengan dadah.

"Saya buntu dalam mencari jawapan kerana bagi saya, segala tunjuk ajar dan didikan telah dilaksanakan oleh isteri.

"Mungkin juga saya menggunakan pendekatan yang salah dalam mendidik anak-anak,'' katanya.

Katanya, sebagai ibu bapa moden beliau dan isteri cuba memberi segala kemewahan kepada keempat-empat anak mereka sebagai tanda kasih sayang.

Justeru, kata Salim, isterinya turut bekerja dengan harapan mereka sekeluarga dapat menjalani kehidupan dengan selesa.

Namun begitu, pengorbanan Salim dan isterinya itu bertukar kepada tragedi apabila anak gadis mereka menjadi penagih dadah.

Kata Salim, beliau menyandarkan seribu harapan kepada Rumah Nur Salam untuk memastikan anak gadisnya itu pulih seperti sedia kala.

Kasih sayang, didikan sempurna benteng bagi remaja

KUALA LUMPUR 1 Mei - Kasih sayang dan didikan sempurna daripada ibu bapa mampu menjadi benteng untuk menghalang remaja terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat.

Perkara itu diakui oleh Alif (bukan nama sebenar) yang kini menumpang kasih di Rumah Nur Salam selepas kehilangan kasih ibu empat tahun lalu.

Baru berusia 12 tahun, Alif memberitahu, empat tahun lalu bapanya membawa dia dan adik bongsunya ke Kuala Lumpur dengan harapan untuk memulakan hidup baru yang lebih baik.

Selepas ibu meninggal Alif dan adik menumpang dengan nenek di Melaka sebelum dibawa oleh bapanya ke Kuala Lumpur.

Tetapi harapan untuk memulakan kehidupan baru di ibu negara tidak tercapai apabila bapanya gagal mendapatkan sebarang pekerjaan.

Menceritakan bagaimana dia boleh terlantar di Rumah Nur Salam, Alif memberitahu, segalanya berlaku tanpa disangka.

"Hari itu, ayah keluar rumah untuk cari kerja dan saya keluar untuk mencari ayah. Entah macam mana, saya sesat," katanya.

Dia berkata, setelah puas merayau di kawasan Masjid Jamek akhirnya dia ditemui oleh seseorang lalu dihantar ke Rumah Nur Salam.

Mujur ayah menemuinya semula di Rumah Nur Salam dan kini, mereka tiga beranak menumpang di situ sejak lima bulan lalu.

Alif yang bijak berkata-kata dan menyimpan cita-cita untuk menjadi juruterbang memberitahu, sejak ibunya meninggal dunia, dia kehilangan tempat bermanja ditambah pula dengan bapanya yang tidak mempunyai pekerjaan.

Namun dia bersyukur dapat tinggal di Rumah Nur Salam dan diberikan makan, minum, pakaian dan bersekolah.

"Saya beranggapan, rakan-rakan yang ada ibu bapa cukup bertuah kerana saya kehilangan kasih dan belaian dari seorang ibu," katanya.

Sementara itu bagi Balqis (bukan nama sebenar), 14, rumah Rumah Nur Salam merupakan penghubung hidup dia dengan seorang lagi adiknya.

Saban hari dia dan adiknya itu akan ke rumah itu untuk mengisi perut yang kosong kerana ibunya tidak mampu menyediakan makanan untuk mereka.

Menurut Balqis, ibu dan bapanya telah berpisah dan telah membawa haluan masing-masing. Ibunya telah berkahwin lain dan bapanya pula hilang tanpa ada khabar berita.

Ekoran itu, Balqis yang mempunyai sembilan adik beradik tidak lagi bersekolah kerana mahu memberikan peluang kepada adik-adik yang lain.

No comments:

Post a Comment