Friday

Dr Shaharom Husain Kembali Ke Rahmatullah - AlFatihah

Mendapat sms dari sahabat Mustafa Kamil Shaharom yang mesra dipanggil dengan Mus atau MKS kira-kira jam 10.20 pagi pada 2 Oktober tentang permergian ayahanda beliau menemui zat yang kekal. Pernah bertemu mata dengan Allahyarham pada ramadhan tahun lepas (1428 hijrah) di rumah Dr Hatta Shaharom, Taman Desa Minang, Gombak. Memang pada ketika itu pun beliau sudah nampak uzur, alhamdulillah membaca laporan akhbar hari ini seperti yang dilaporkan oleh media yang memetik kata-kata Dr Hatta bahawa beliau banyak berzikir pada hari-hari terakhir sebelum menghembuskan nafas terakhirnya. Mudah-mudahan roh beliau diletakkan bersama-sama orang-orang soleh kerana banyak jasa beliau mendidik anak bangsa orang-orang Melayu.

Laporan Utusan Malaysia pada 3 Oktober 2008
Budayawan Dr. Shaharom Husain meninggal dunia

Oleh KAMIL MASLIH

JOHOR BAHRU 2 Okt. - Tokoh guru dan budayawan, Dr. Shaharom Husain, 88, meninggal dunia hari ini akibat sakit tua.

Allahyarham yang juga terkenal sebagai tokoh sastera menerusi novel Keris Laksamana Bentan dan drama Si Bongkok Tanjung Puteri menghembuskan nafas terakhirnya dalam tidur pada pukul 7.45 pagi di rumah anak sulungnya, Dr. Mohamed Hatta di Taman Berlian, Gombak.

Jenazah Allahyarham dibawa ke sini untuk dikebumikan bersebelahan kubur isterinya, Allahyarham Aminah Abdul Rashid di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah selepas waktu Asar.

Beliau meninggalkan empat orang anak lelaki iaitu Dr. Mohamed Hatta, Dr. Mustapha Kamal, 55, Muhammad Iqbal, 50, dan Mustafa Kamil, 49, serta 23 cucu dan enam cicit.

Menurut Hatta yang juga Naib Presiden Kanan dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan CyberJaya, ayah beliau meninggal dunia selepas menunaikan solat Subuh.

"Dalam dua tiga hari sebelum ini ayah memang banyak berzikir serta mengucapkan Allahhuakbar berulang kali," katanya yang memberitahu ayahnya telah dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) minggu lalu kerana pembedahan tulang kaki dan punggung selepas terjatuh.

Kata Dr. Mohamed Hatta, ayahnya merupakan seorang yang amat menekankan pendidikan sepanjang hayatnya.

"Beliau pernah berpesan bahawa kalau kaum Melayu tidak menguasai pendidikan, bangsa Melayu tidak akan maju dan tidak mendapat tempat di dunia.

"Selain itu, beliau juga sering mengingatkan untuk kita mencari ilmu bagi dunia dan akhirat," katanya.

Semasa hayatnya, Allahyarham telah dianugerahkan beberapa penghormatan negeri dan negara seperti Tokoh Guru Johor, Tokoh Guru Kebangsaan, Anugerah Budayawan Johor dan Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Anak kelahiran Kampung Peserai, Mukim Tiga, Batu Pahat itu juga merupakan penerima pertama Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada Universiti Perguruan Sultan Idris pada tahun 2000.

Beliau mendapat pendidikan di Maktab Perguruan Sultan Idris dari tahun 1938 hingga 1950 dan pernah mengajar di maktab berkenaan serta Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim, Johor Bahru selain menjadi Karyawan Tamu di UKM.

Dalam dunia kesusasteraan, beliau telah bergiat aktif sejak tahun 1940-an dan telah menghasilkan pelbagai novel dan drama yang sering digunakan sebagai teks sastera di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia sejak era 1980-an hingga sekarang.

Antara karya beliau termasuklah Lembing Awang Pulang ke Dayang, Hantu Laut dan Korban Sungai Muar, Tun Fatimah, Bermandi Darah Di Sungai Johor selain menulis memoir biografi Perjuangan Politik Datuk Onn Jaafar serta menulis semula buku Tawarikh Johor.


Laporan Berita Harian 3 Obtober 2008

Sejarawan meninggal

JOHOR BAHRU: Sejarawan terkenal Johor, Dr Shaharom Husain, 88, meninggal dunia dalam tidur selepas menunaikan solat Subuh di rumah anak sulungnya di Gombak, Selangor, semalam.

Allahyarham yang juga Tokoh Guru dan Budayawan negara, meninggal dunia pada umur 88 tahun dan meninggalkan empat anak serta 23 cucu.

Anak sulung allahyarham, Dr Mohammed Hatta, 56, yang juga Naib Presiden Kanan dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya ketika ditemui, berkata jenazah ayahnya dikebumikan bersebelahan kubur ibunya, Aminah Abdul Rashid di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodi-ah di sini, selepas solat Asar.

Difahamkan, Shaharom yang menulis semula buku Tawarikh Johor (1950) dan menghasilkan buku Sejarah Johor dan Kaitannya Dengan Negeri-negeri Lain (1995) banyak berzikir sejak dua tiga hari lalu, sebelum meninggal dunia.

Beliau dilahirkan pada 4 November 1919 di Kampung Peserai, Mukim Tiga, Batu Pahat.
, pernah mendapat anugerah Tokoh Guru Johor, Tokoh Guru Kebangsaan, Anugerah Budayawan Johor, Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

Beliau pernah menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) (1938-1940) (sekarang UPSI) dan mengajar di MPSI dari tahun 1946-1951 serta Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim, Johor Bahru antara 1952 dan 1974.

Antara individu kenamaan yang pernah menjadi pelajaranya di MPSI adalah bekas Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Ghafar Baba dan tokoh pendidikan, Tan Sri Prof Dr Awang Had Salleh.

Karya beliau terdiri daripada pelbagai genre seperti drama pentas, novel, memoir, puisi, cerpen, buku dan kajian seperti Korban Sungai Muar atau Lelehan Darah di Pantai Bentan (1948), Tun Fatimah (1948), Bermandi Darah Di Sungai Johor atau Riwayat Hidup Hang Nadim Hulubalang Melayu (1949), Biografi

Perjuangan Politik Datuk Onn Jaafar (1985) dan drama Si Bongkok Tanjung Puteri.

Ketokohan Shaharom mendapat pengiktrafan di peringkat antarabangsa apabila namanya tercatat dalam Dictionary of International Biography yang mengandungi keterangan 2,000 tokoh yang berjaya dalam bidang penulisan, pendidikan dan kegiatan lain, serta dalam The Thousand Man of Achievement pada 1969.


Dari Arkib Bulan Mei 2007 Bernama

Peranan persuratkhabaran dan golongan guru dalam kemerdekaan

Oleh Nurul Halawati Azhari [mstar]

Perang Dunia Kedua dan Pendudukan Jepun telah menyuntik satu kesedaran baru dalam minda penduduk Tanah Melayu dan menyemarakkan lagi agenda mencapai kemerdekaan.

Pengalaman selama tiga tahun lapan bulan di bawah cengkaman Jepun yang kononnya ingin membebaskan Asia Tenggara daripada penjajahan Barat ruparupanya mengundang derita. Tetapi apabila British kembali ke Tanah Melayu, selepas Jepun menyerah diri, senarionya berubah sama sekali. Kekaguman serta penghormatan membuta-tuli terhadap pihak British yang wujud sebelum perang telah terhakis.

Hakikat bahawa British terlalu kuat untuk dikalahkan seperti yang dipercayai sebelumnya telah membangkitkan suarasuara penentangan yang mencetuskan perjuangan kemerdekaan. Antara yang aktif dan bersungguhsungguh meniupkan semangat perjuangan mendaulatkan maruah bangsa ialah golongan guru Melayu.

Apatah lagi ketika itu terdapat diskriminasi antara Sekolah Melayu tempat mereka mengajar yang masih lagi berbumbungkan atap dan sekolah Inggeris yang serba lengkap. Diskriminasi itu jugalah yang telah menyedarkan mereka bahawa hanya orang Melayulah yang dapat mengubah nasib mereka sendiri.

KEPRIHATINAN GURU TERHADAP KESENGSARAAN ORANG MELAYU
Kesusahan yang dialami masyarakat Melayu telah menyuntik semangat guruguru pada zaman itu, menunjangi pergerakan politik. Sama ada dengan menyertai partiparti politik seperti Umno, Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Kesatuan Melayu Muda (KMM) malah ada juga yang menggunakan medium penulisan sebagai alat menyampaikan pandangan serta seruan masingmasing.

Dengan beraninya golongan ini menyuarakan komentar serta pandangan tajam mereka mengenai penjajah melalui suratkhabar seperti Utusan Melayu, Majlis, Warta Malaya, Warta Ahad dan Warta Jenaka. Ada juga yang menulis dalam akhbar-akhbar sebelum dan semasa pemerintahan Jepun seperti Persaudaraan Sahabat Pena Malaya, Semangat Asia dan Fajar Asia. Tulisan mereka lebih berkisar kepada cerpen dan rencana yang menyentuh soal politik, kebudayaan dan pendidikan.

Namanama seperti Abdul Ghafar Baba, Syed Nasir Syed Ismail, Alimin, Buyong Adil, Za'ba, Abdullah Sidek, Harun Md.Amin (Harun Aminurrashid) dan Shaharom Husain adalah antara tokoh guru penulis yang telah mewarnai dunia penulisan waktu itu.
Menurut Dr Shaharom Husain, 87, tokoh guru, sejarawan dan budayawan yang telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya menghasilkan beratus-ratus teks sastera dan sejarah, penglibatan guruguru dalam dunia persuratkhabaran adalah satu usaha yang harus dihargai. Ini kerana mereka turut memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pemikiran rakyat.

PENGLIBATAN GURU
Shaharom juga pernah menjadi guru dan jurubahasa Jepun pada zaman penjajahan Jepun. Beliau juga salah seorang lulusan guru dari maktab perguruan yang turut menjadi pusat menyemarakkan semangat kebangsaan.
Beliau turut mengimbau kembali penglibatan dan perjuangan beberapa orang tokoh guru penulis yang lahir daripada maktab-maktab perguruan seperti Maktab Latihan (Guru) Melayu Singapura, Melaka, Matang, Johor Baharu dan Maktab Latihan Sultan Idris (SITC) di Tanjung Malim.

Di SITC misalnya, para penuntut digalakkan menghantar karya mereka kepada majalah rasmi institusi itu, Chendera Mata. Oleh kerana ramai yang berminat dalam penulisan, majalah rasmi maktab itu tidak dapat menampung kesemua karya yang dihantar oleh penuntut. Justeru, mereka mula mengembangkan sayap dengan mencuba nasib di akhbarakhbar tempatan dan luar negara.

Selain itu SITC, di bawah pentadbiran O.T Dussek, telah menubuhkan Pejabat Karang Mengarang dan Perpustakaan Maktab. Ia sangat berpengaruh dan telah membantu perkembangan bahasa dan persuratan Melayu serta perkembangan pelajaran persekolahan Melayu penuntut maktab. Di sinilah minat membaca serta menulis di kalangan guruguru maktab dipupuk. Mereka menulis dengan tujuan yang sungguh murni iaitu untuk perkembangan dan kedaulatan bahasa dan sastera serta kemerdekaan tanah air.

PERANAN ZAABA
Antara guru penulis yang dikagumi beliau dan berjaya membolosi bidang penerbitan ialah Harun Aminurrasyid, Buyong Adil dan Zaaba. Harun, selain lantang bersyarah, juga banyak menulis dan salah satu syairnya banyak mempengaruhi guru dan penuntut maktab. Karyanya turut tersiar dalam Majalah Guru dan Warta Ahad. Manakala Buyong Adil pula menerapkan semangat kemerdekaan menerusi kelas sejarah serta tulisan-tulisannya.

Zaaba bagi Shaharom adalah antara individu yang aktif dan lantang menyuarakan pendapatnya menerusi mata pena. Beliau memperlihatkan sikap antikolonial British dari awal lagi.
Misalnya, Zaaba telah melihat dengan jelasnya bagaimana British berusaha menanam sikap taat setia dan rasa abdi pada Rajaraja Melayu melalui pendidikan. Caranya ialah dengan menerbitkan bukubuku teks di sekolah Melayu mengenai hikayathikayat Melayu lama seperti Hikayat Hang Tuah dan Kisah Pelayaran Abdullah yang hanya menonjolkan kelemahan mereka.

Oleh kerana bukubuku ini turut memuatkan kisah-kisah ajaib, ia dilihat oleh Zaaba sebagai bahan bacaan yang tidak akan membina minda pelajar Melayu yang bersesuaian dengan zaman. Beliau berpendapat, ia adalah antara agenda British bagi menghalang kesedaran untuk bersatu serta menuntut hak membebaskan tanah air.

SHAHAROM TERUS MENULIS
Semangat Zaaba itu mendorong Shaharom terus menulis. Menggunakan nama pena Mashor Malaya, Shabhi dan Dharmaya, tulisannya banyak menyentuh tentang peri mustahaknya guruguru menanamkan semangat kebangsaan pada murid-muridnya. Ia turut menyeru guruguru lain agar turut serta menyuntik kesedaran dalam diri murid-murid Melayu akan tanggungjawab mereka terhadap keselamatan, kesejahteraan dan kemerdekaan bangsa dan tanah air.

Dalam usia emasnya, penulis novel sejarah Tun Fatimah (1948), Keris Laksamana Bentan (1954) dan Lembing Awang Pulang Ke Dayang (1959) ini masih lagi aktif menulis.

Mengingati kembali saat pahit manis perjuangan guru penulis ketika zaman mudanya, bagi Shaharom, ketika itu, guruguru Melayu mempunyai rasa insaf diri yang tinggi.
"Sedar akan kelemahan orang Melayu ketika itu, guruguru bersatu dalam kesatuan sama ada berhaluan kiri atau kanan. Tapi, waktu itu sama ada memilih parti berhaluan kiri atau kanan, matlamat perjuangan mereka adalah sama iaitu ingin membebaskan tanah air daripada penjajahan.

Pahit getir perjuangan penulisan mereka terasa manisnya apabila laungan kemerdekaan bergema di seluruh Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

MENGHARGAI PERJUANGAN GURU
Sumbangan golongan guru penulis untuk memartabatkan bangsa tidak terhitung nilainya. Jiwa pendidik yang cintakan bangsa terus subur walaupun ada ketikanya dipuji dan dibela, ada waktunya pula dikeji dan difitnah.

Setelah usia kemerdekaan mencapai Jubli Emas, generasi muda mungkin agak terleka dengan kemewahan dan keamanan yang dicapai. Namun, tokoh yang pernah mendapat Anugerah Sasterawan Nasional daripada Dewan Bahasa dan Pustaka di awal 90an ini mahu golongan muda hari ini mengenal kembali susur galur sejarah negara.

"Manusia, bila sudah senang, sering lupa dan leka. Bila sudah senang, kita tidak ada apa lagi yang hendak diperjuangkan," ujarnya mengakhiri temubual.
-BERNAMA

No comments:

Post a Comment