Monday

Mohon Kursus Sesuai dengan minat dan kebolehan

Isnin, Februari 02, 2009
IPTA: Pohon kursus sesuai dengan keputusan dan minat
Oleh Mohd Fuad Razali

MENGIKUT iklan yang disiarkan dalam akhbar Berita Minggu, mulai jam 12 tengah hari esok (3 Februari 2009), semua lepasan sekolah yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta lulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), boleh mengakses laman web Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengemukakan permohonan memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi 2009/2010 yang akan bermula pertengahan tahun ini.

Dengan kemajuan teknologi maklumat, sekarang semua permohonan memasuki IPTA sudah boleh dibuat secara online (ada yang gunakan istilah dalam talian. Saya selalu gunakan istilah talian terus!). Alhamdulillah. Cuma kita harapkan tidak timbul masalah bagi pemohon-pemohon untuk mengakses kepada laman web berkenaan.

Kepada pelajar-pelajar yang sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM, STPM dan STAM serta yang sudah pun memiliki sijil berkenaan (tahun-tahun sebelumnya), jangan lupa ke kaunter Bank Simpanan Nasional terlebih dulu untuk mendapatkan nombor unik ID bagi membolehkan anda memohon memasuki IPTA. Harganya taklah mahal sangat cuma RM10.60 untuk pemegang sijil SPM dan RM15.60 untuk lulusan STPM dan STAM.

Melihat iklan yang terpampang dalam akhbar itu, saya teringat sewaktu bertugas di Berita Harian dulu. Memandangkan saya bertugas di Meja Pendidikan (sebelum itu dikenali sebagai Unit Akhbar Dalam Darjah), maka selalulah saya ke Kementerian Pendidikan (sekarang Kementerian Pelajaran). Oleh itu, saya mengenali beberapa pegawai di kementerian itu, termasuk di Unit Pusat Universiti (sekarang Jabatan Pengajian Tinggi).

Setiap kali selepas keputusan peperiksaan SPM dan STPM diumumkan, selalulah juga saya dikunjungi rakan-rakan setugas mahupun rakanr-rakan sepersekolahan dan saudara-mara, nak minta pandangan mengenai kursus yang sesuai dipilih oleh anak-anak, adik-adik atau saudara-mara mereka. Selain itu, selepas keputusan permohonan ke IPTA diumumkan. Ada juga yang datang berjumpa nak minta buat rayuan kerana permohonan anak, adik atau saudara-mara mereka gagal.

Ketika itu, saya pun kenalah jadi 'kaunselor' tak bertauliah. Bagilah nasihat apa yang patut. Apabila ada rayuan pun macam tu, saya akan rujuk dulu kepada pegawai di UPU dan kemudian sampaikan nasihat mereka kepada rakan-rakan atau saudara-mara yang berkenaan. Kadangkala surat rayuan itu saya hantar ke pejabat menteri. Yang selalu jadi sasaran ialah Setiausaha Akhbar.

Berdasarkan pengalaman-pengalaman itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberikan sedikit pandangan berhubung pemilihan ke IPTA. Memandangkan anak-anak yang akan memohon memasuki IPTA sudah pun menduduki peperiksaan mereka, dan keputusan pun akan diumumkan tidak lama lagi, maka pandangan saya begini:

Apabila keputusan peperiksaan diumumkan kelak, jika mendapat keputusan baik atau cemerlang seperti yang diimpikan, tahniah dan bersyukurlah. Dengan itu, tidak mustahil bagi anda memilih kursus pengajian yang anda impikan. Teruskan.

Jika tidak seperti diharapkan, maka pilihlah kursus pengajian yang sesuai dengan keputusan peperiksaan yang anda diperolehi. Dalam situasi begini, anda perlu melupakan cita-cita asal anda untuk memasuki bidang pengajian tertentu sekiranya keputusan yang diperoleh ternyata tidak melayakkan anda memohonnya.

Ingat, dalam membuat permohonan memasuki IPTA, jangan terlalu emosi. Jika keputusan anda jelas tidak memenuhi syarat minimum kelayakan yang ditetapkan, janganlah bersikap keras tak bertempat. Anda juga yang rugi.

Mungkin ada hikmahnya. Muhasabah diri mengapa anda tidak mencapai keputusan yang diharapkan yang membolehkan anda memasuki kursus pengajian yang anda idam-idamkan. Ambillah iktibar daripadanya.

Satu lagi, jangan pilih kursus pengajian kerana mengikut kawan. Jika keputusan anda memenuhi syarat kelayakan minimum yang ditetapkan, maka pilihlah kursus yang anda minat, bukan kerana kawan anda minat.

Ada calon memilih kerana tak mahu berpisah dengan kawan baiknya. Ingat, memohon masuk ke universiti ada kaitan dengan masa depan anda. Kawan anda tidak mungkin dapat menolong anda jika di pertengahan pengajian kelak, tiba-tiba anda dapati tidak berminat dengan bidang pengajian berkenaan atau sukar bagi anda.

Ingatlah, jika anda berpisah dengan kawan anda hari ini, hanya untuk sementara saja. Anda boleh berjumpa lagi pada lain masa. Tapi sekarang, macam-macam teknologi ada. Tak boleh jumpa, boleh panggil dengan telefon bimbit, boleh SMS. Malah, sekarang boleh guna YM, boleh chat guna kamera lagi. Nampak juga muka. Boleh sembang lagi!

Lepas itu, akan jumpa kawan baru. Memanglah kawan baru, kita tidak pernah jumpa sebelum ini. Apabila sudah lama berkawan, dia akan jadi kawan kita juga. Kawan baik yang kita ada sekarang pun, asalnya kita tidak pernah jumpa. Jadi, kita berpeluang tambah senarai kawan-kawan.

Kepada ibu bapa pula, saya ingin bagi pandangan yang sama. Jika anak-anak anda sudah mempunyai minat dan keinginan mereka, dan sesuai pula dengan keputusan peperiksaan yang diperoleh, sokonglah mereka. Janganlah pula kita memaksa mereka mengikuti bidang pengajian yang mereka sebenarnya tidak minat. Memang ada ibu bapa yang suka memaksa anak-anak mengikut kehendak mereka. Ada ibu bapa yang beria-ia sangat supaya anak ambil bidang perubatan walaupun anak itu tak minat. Kesian pada anak-anak. Jika mereka boleh ikuti pengajian tak mengapa, tetapi jika mereka kandas di tengah jalan, ibu bapa akan dipersalahkan.

Jika anak-anak berbelah bagi tak tahu kursus mana nak dipilih, atau memang tak ada idea langsung, maka bagilah panduan kepada mereka. Atau jika tidak, bawalah mereka berjumpa dengan guru kaunselor di sekolah. Atau mereka yang arif mengenai bidang-bidang pengajian berkenaan. Atau boleh juga hubungi terus fakulti pengajian di IPTA yang terbabit. Mereka boleh membantu.

No comments:

Post a Comment