Sunday

Redha Allah Terletak Pada Redha Ibubapa.

Prof Dr Yusuf Al Qardhawi mencatatkan dalam bukunya Thaqafah Islamiah antara keaslian dan Kemodenan, kisah sebab keislaman seorang warga bangsa Itali dari pengalamannya memerhati dan berdialog dengan seorang pemuda Arab yang berasal dari timur tengah. Ia menceritakannya: “Saya pernah berjumpa dengan seorang pemuda Muslim yang berasal dari Negara Moroko yang berjaja barang-barang runcit dengan kereta sorong pada musim sejuk. Ia berjaja ke hulu dan ke hilir untuk menjual barang dagangannya tanpa menghiraukan cuaca yang amat sejuk ketika itu”.

Saya bertanya: “Apakah yang mendorong awak berniaga dalam cuaca yang sangat sejuk ini?”

Ia menjawab:”Untuk mencari rezeki Allah”.

Saya bertanya lagi:”Apakah hasil jualan kamu ini mencukupi?”

Ia menjawab: “Segala puji bagi Allah, dari hasil perniagaan ini, sebahagiannya saya gunakan untuk keperluan saya dan bakinya akan saya kirim kepada keluarga dan ayah bonda saya di Moroko”.

Saya bertanya:”Apakah awak bertanggungjawab atas mereka?”

Ia menjawab:”Redha Allah terletak di atas keredhaan ibubapa dan memelihara hubungan silaturrahim itu memberkahi kehidupan.”

Saya berkata:”Ini bermakna awak redha dan suka dengan kehidupan awak sekarang.”

Ia menjawab:”Ya, saya redha dan menerimanya. Alhamdulillah, semoga Rabb sentiasa melimpahkan nikmat kurniaNya kepada hamba.”

Saya bertanya:”Siapakah yang telah mengajarkanmu perkara ini semua?”

Ia menjawab:”Agamaku, Islam yang telah mengajarkanku perkara ini semua.”

Saya bertanya:”Bagaimana saya boleh belajar tentang agama kamu itu?”

Ia menjawab:”Saya ini hanya orang biasa, tidak berpelajaran tinggi, jika awak mahu eloklah awak pergi ke masjid sana dan berjumpa dengan Tuan Imam yang boleh memberikan penjelasan yang secukupnya kepada awak.”

Kami berdua pun pergi ke masjid yang ia maksudkan. Selang beberapa hari saya pun menganut agama Islam dan kemudian bergiat dan bergerak aktif dengan majlis-majlis ilmu dan kerja-kerja Dakwah Islamiah.





Dalam buku Pendidikan Islam dan Madrasah Hasan Al Banna, Prof Dr Yusuf Al Qardhawi menceritakan perihal tentang sahabatnya, Abdul Wahab al Batanuni.

"Saya tidak dapat melupakan seorang kawan tercinta, Abdul Wahab al-Batanuni, teman belajar pada Perguruan Agama Menengah di Thantha. Saya tidak dapat melupakan kerinduannya yang kuat untuk berjihad di Palestina, sehingga hal itu menjadi mimpinya di waktu malam dan buah fikirannya di waktu siang. Keinginannya itu tidak terlaksana, kerana halangan dari Ibunya.

Ibunya yang sangat mencintai dan menyayanginya, lebih-lebih setelah ayahnya meninggal. Ibunya tidak sanggup berpisah jauh dari padanya, maka bagaimana kalau ia sampai mati syahid ? Kerana itu ibunya tidak mengizinkannya berangkat dan tidak rela ia menceburkan diri ke dalam pasukan Ikhwanul muslimin, sedangkan ia sangat ingin berbuat baik kepada ibunya dan menyenangkan hatinya, dan tidak ingin berangkat berjihad tanpa izin dan kerelaannya. Sebab itu kami dibawanya untuk menemaninya menemui ibunya, supaya kami berbicara dengan ibunya itu tentang keutamaan jihad, kedudukan mujahid fi sabilillah dan kisah para pahlawan muslimin serta bagaimana sikap ibu-ibu mereka dalam hal ini. Demikianlah kami berbicara dengannya, sehingga akhirnya dengan air mata bercucuran ia merelakannya berangkat."

Rasullullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.[1]

Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya – hadis no: 1899 (Kitab al-Birr wa al-Shalah, Bab berkenaan keutamaan pada keredhaan ibubapa) dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 515.

Menjadi kewajipan seorang muslim untuk mendengar dan taat dalam perkara yang disukai mahupun yang dibenci selagi mana ia tidak melibatkan maksiat. Maka jika disuruh untuk melakukan maksiat maka tidak perlu mendengar dan tidak perlu mentaatinya.[2]
[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 7144 (Kitab al-Ahkam, Bab mendengar dan taat kepada pemerintah selagi mana ia bukan merupakan maksiat).

Kepentingan Menggembirakan Ibubapa.

‘Abd Allah ibn ‘Amr radhiallahu 'anh menerangkan bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata:

“Sesungguhnya aku datang untuk memberi janji taat setia (bai‘ah) kepada engkau untuk berhijrah, akan tetapi aku meninggalkan kedua orang tuaku dalam keadaan menangis.” Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkata kepadanya:

“Kembalilah kepada mereka berdua dan jadikanlah mereka berdua ketawa (gembirakanlah mereka) sebagaimana kamu jadikan mereka menangis.”[1]

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasai dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasai – hadis no: 4163 (Kitab al-Bai‘ah, Bab berbai‘ah untuk hijrah).
Doa Ibubapa Pasti Dikabulkan.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menegaskan:
Tiga jenis doa yang pasti akan dikabul, tanpa diragui lagi: doa orang yang dizalimi, doa orang yang sedang dalam perjalanan (musafir) dan doa orang tua ke atas anaknya.[1]
[1] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan ia dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 1905 (Kitab al-Birr wa al-Sholah, Bab berkenaan doa kedua ibubapa).

Rujukan:
1.Prof Dr Yusuf Qardhawi, Thaqafah Islamiah antara Keaslian dan Kemodenan (Terjemahan Ahmad Nuryadi Asmawi)
2.http://hafizfirdaus.com/ebook/Ayah_Ibu/index.htm

No comments:

Post a Comment