Saturday

Pentingnya Kesihatan dan Kecergasan yang Baik

Seorang lelaki memuji sahabatnya kerana kelihatan lebih muda dari usia sebenar. Seperti kebanyakan orang Melayu lain yang apabila dipuji akan mengalihkan isu pujian kepada perkara yang lain untuk mengelakkan rasa ujub - ia menjawab; "kelihatan lebih muda tidak penting, yang lebih penting ialah lebih sihat".

Sebenarnya kalau sekadar lebih sihat juga tidak mencukupi jika ia tidak diiringi dengan lebih cergas. Sihat dan cergas merupakan dua perkara yang berbeza. Sebagai pendidik, kami sering diperingatkan oleh guru kecergasan kami tentang peri pentingnya menjaga dan meningkatkan kesihatan dan kecergasan.

Sihat fizikal secara umumnya bermaksud bebas daripada sebarang penyakit yang memerlukan rawatan dan ubat, manakala cergas pula ialah kemampuan untuk melakukan kerja harian tanpa rasa cepat penat. Malah orang yang mempunyai tahap kecergasan yang tinggi mempunyai tenaga tambahan untuk melakukan kerja yang di luar jangkaan atau di luar kebiasaan. Sebagai contoh, anda biasa pulang dari pejabat jam 5 petang dan sampai di rumah jam 6 petang atau lebih awal lagi, tetapi ada ketikanya disebabkan oleh kesesakan jalan raya, anda sampai di rumah jam 7 petang. Sekiranya anda terasa lesu, letih dan mengantuk; ini bermakna anda tidak cergas.


Untuk menjaga kesihatan, amalan gaya hidup yang sihat sangat penting seperti mengamalkan amalan pemakanan yang seimbang serta mengelakkan pengambilan sebarang bahan-bahan yang diharamkan oleh syarak. Untuk mengekalkan kesihatan dan meningkatkan kecergasan pula, sesuatu aktiviti aerobik yang berkala perlu dijalankan dengan penuh displin.


Cergas fizikal boleh diukur dengan menggunakan standard UKJK.( Ujian Kecergasan Jasmani Kebangsaan ). Ia mempunyai tahan-tahap yang berbeza mengikut tahap individu. Bagi para-para ahli sukan tahap tinggi, ahli komando, mereka mempunyai standard yang berbeza. Antara komponen yang diambil kira di dalam ujian ini ialah bentuk badan (body mass index, BMI), kekuatan otot-otot, ketahanan jantung serta penafasan, kelembutan badan, kepantasan pergerakan

Kempen kecergasan sering menemui kegagalan kerana orang hanya aktif pada peringkat awal dan lama-kelamaan terus hambar.


Ciri-ciri kecergasan

1.Daya Tahan Kardiovaskular.
Keupayaan melakukan kerja dalam jangka masa yang lama yang melibatkan keseluruhan badan. contohnya berjogging sekurang-kurangnye 30 minit

2. Kelembutan.
Kebolehan meregang otot atau ligamen bagi membolehkan sendi bergerak dengan bebas dalam julat pergerakan yang maksimum.
Contohnya aktiviti split.

3. Kekuatan Otot.
Daya yang dapat dikenakan kepada otot atau sekumpulan otot dalam satu pengecutan maksimum.Contohnya mengangkat objek besar.

4. Daya Tahan Otot.
Keupayaan otot bekerja dalam jangka masa yang lama tetapi kurang dari keupayaan maksimum.Contohnya melakukan aktiviti bangkit tubi.

5. Komposisi Badan.
Ia merujuk kepada peratus lemak dalam badan.

Kecergasan Fizikal berlandaskan Perlakuan Motor pula adalah seperti berikut :-

1. Kordinasi.
Kebolehan menyesuaikan deria dengan otot bagi menghasilkan ketepatan, kelicinan dan keharmonian pergerakan.

2. Ketangkasan.
Keupayaan menukar arah dengan cepat dan berkesan.

3. Kelajuan.
Keupayaan bergerak dari satu titik ke titik berikut dengan cepat.

4. Imbangan.
Jenis koordinasi yang melibatkan penglihatan reflek dan sistem otot rangka yang mana dapat mengekalkan keseimbangan.

5. Masa Tindakbalas.
Masa yang diperlukan untuk bergerak balas atau memulakan pergerakan setelah diberikan rangsangan.

6. Kuasa.
Keupayaan melakukan kerja dalam masa yang singkat.



Kebaikan senaman

Bersenam meningkatkan produktiviti. Sesetengah negara maju seperti Jepun dan Sweden memberi insentif kepada pekerja yang bersenam kerana memberi kesan positif kepada kecergasan dan produktiviti.

Pekerja yang tidak bersenam lebih berisiko mendapat penyakit dan produktiviti merosot kerana memerlukan rehat apabila sakit. Pekerja yang bersenam dan sihat walaupun sakit mengambil cuti sakit lebih singkat.

Senaman menambah keceriaan, kecantikan dan ketampanan.

Pekerja yang bersenam lebih tahan lasak dan dapat bekerja bagi tempoh lebih lama seperti hingga jam 10 malam. Pekerja yang tidak cergas mudah berasa penat dan mungkin hanya bertahan setakat jam 4 atau 5 petang.

Senaman menyebabkan orang tidur nyenyak dan badan yang berehat ketika tidur menyebabkan sistem tubuh badan cantik.

Tekanan perasaan dikurangkan dengan bersenam. Tekanan perasaan yang bermula dari otak mengalir dalam tubuh badan dan kadang-kadang memberi tekanan menyebabkan otot tegang. Senaman menyebabkan otot menjadi kendur dan darah mengalir.

Senaman mengurangkan atau melambat mendapat penyakit. Dalam kes pesakit diabetes, senaman menyebabkan sensitiviti insulin meningkat dan gula dari darah yang hendak dimasukkan dalam sel meningkat. Banyak kajian menunjukkan bahawa pesakit diabetes yang bersenam boleh mengawal paras gula darah.

No comments:

Post a Comment