Thursday

MUAFAKAT ULAMA’ MANSUHKAN PPSMI.

Majlis tersebut berlangsung di pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, di Jalan Belamy, Kuala Lumpur.

Memorandum tersebut diterima oleh Tan Sri Dato’ YM Engku Ibrahim bin Engku Ngah, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, bagi pihak Majlis Raja-Raja Melayu.




Dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu

Persatuan Ulama’ memohon agar memorandum yang mengandungi bantahan terhadap PPSMI itu dapat dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu.

Persatuan Ulamak Malaysia diwakili oleh Tuan Ustaz Abd. Ghani Samsuddin (pengerusi SHURA) dan Tuan Prof. Ustaz Dr. Abdul Rahman Awang (ahli SHURA).

Delegasi itu juga diiringi oleh tokoh-tokoh penting Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Tuan Dr. Shahrir Md. Zain (Timbalan Pengerusi GMP), Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan (Naib Pengerusi GMP), dan Tuan Hasni Abas (Setiausaha GMP).


Teks penuh memorandum tersebut, dan senarai penama yang menanda tangani dokumen tersebut adalah seperti berikut:

MEMORANDUM MUAFAKAT ULAMA’ MANSUHKAN PPSMI

dipanjangkan kepada

MAJLlS RAJA-RAJA MELAYU

Melalui

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

Segala puji hanya untuk Allah Rabbul ‘Alamin, Yang Maha Pengasih, Yang telah mengajar Al Quran, Dia menciptakan insan, mengajarnya al bayan, Dia mencipta semua dengan segala aturannya agar insan tidak merosakkan keseimbangan, supaya ditegakkan kesimbangan itu dengan adil dan tidak mengurangi keseimbangan yang telah disusun dengan peraturan-Nya.

Selawat dan salam untuk junjungan kekasih-Nya Rasulullah s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan seluruh sahabatnya, yang menjadi qudwah hasanah untuk seluruh insan, membawa rahmat untuk sekalian alam, membawa petunjuk dari zulamat kepada nur yang menerangkan, membebaskan perhambaan insan kepada makhluk kepada pengabdiaan hanya kepada Allah, yang mengangkat semua kaum dari Zillah kepada kekecemerlangan I’zzah Islam.

MENYEDARI bahawa KDYMM Raja-Raja Melayu turut prihatin mengenai status Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan sesuai dengan peruntukan dalam Akta Bahasa Kebangsaan dan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan;

MEMAHAMI bahawa bahasa mempunyai kaitan langsung dengan persoalan falsafah dan pegangan hidup seseorang Muslim;

MEMAHAMI bahawa dengan pemisahan agama daripada bahasa akan membawa implikasi besar kepada kaum Muslimin dari sudut pandangan hidup Islam yang berasaskan Tauhid;

MENGINSAFI bahawa kepentingan penggunaan bahasa dalam Islam ada kaitan dengan makna yang boleh memberi kesan kepada nilai dan prinsip asas dalam kehidupan seseorang Muslim;

MENELITI bahawa fungsi bahasa sangat jelas kepentingan dan kedudukannya dalam pengembangan dan penyampaian risalah Islam;

MENGISAFI betapa sekularisasi bahasa akan membawa kepada sekularisasi kehidupan kaum kerangka berfikirnya terhadap tassawur Islam yang benar dan murni;

MENGHAYATI betapa bahasa Melayu telah melalui sejarah Islamisasi yang tersendiri sejak kedatangan Islam di alam Melayu, oleh kerana itu ia telah menjadi bahasa yang terpilih untuk membentuk pegangan hidup Islam dalam kalangan ratusan juta kaum Melayu di nusantara ini;

MENERIMA bahawa Bahasa Melayu mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa Kebangsaan Negara ini;

MENGAMBIL perhatian serius bahawa perlaksanaan PPSMI (Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) sejak tahun 2003, telah menjejaskan status dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan Negara;

MENYESALI PPSMI telah dilaksanakan dengan secara tergesa-gesa tanpa penelitian yang lebih terperinci dan tanpa mengambil pandangan balas dari ahli cendekiawan dan ilmuan Islam;

MEMANDANG serius bahawa perlaksanaan PPSMI telah memberi kesan negatif dalam jangka masa pendek mahupun dalam jangka masa panjang kepada tahap prestasi pelajar-pelajar di kawasan luar Bandar;

MEMBERI perhatian berat kepada perlaksanaan PPSMI yang telah mengetepikan segala usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang berkeupayaan tinggi untuk mendidik anak bangsa khasnya dan warga negara amnya;

MEMAHAMI bahawa perlaksanaan PPSMI oleh pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia tidak mengambil kira segala hujah ilmiah berdasarkan undang-undang, sejarah, kesan sosio-budaya, pembinaan jati diri dan tamadun bangsa, yang telah dibentang oleh pelbagai ahli pakar dan ahli akademik dalam Negara;

MENGESAHKAN beragama Islam dan bertutur dalam bahasa Melayu ada kaitan dengan ta’rif seorang Melayu mengikut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dan ini bermakna keserasian Bahasa Melayu dengan KeIslaman bangsa Melayu tidak dapat dipisahkan;

MEMPERAKUI bahawa DYMM Raja-Raja Melayu mempunyai keperihatinan yang tinggi serta mempunyai pengaruh yang besar terhadap status dan pemeliharaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan; dan

Maka kami sebagai golongan agama yang prihatin terhadap sebarang hal ehwal yang ada kaitan dengan kedudukan Islam dan kaum Muslimin di Negara ini, berpendirian:

1. MENOLAK perlaksanaan PPSMI dalam sistem pendidikan Negara;

2. MEMBANTAH penerusan perlaksanaan PPSMI kerana ia menjejaskan kedudukan bahasa Melayu yang sudah diangkat martabatnya sebagai bahasa ilmu dan sekaligus bahasa Islam;

3. MENEGASKAN bahawa dalil agama untuk mengembalikan pengajaran sains dan matematik kepada bahasa Melayu sangat kuat kami sandarkan kepada nas-nas naqli berikut:

Merujuk kepada Surah al-Rum, ayat 22 bermaksud:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya adalah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.”

Surah Ibrahim, ayat 4 bermaksud:

“Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya), Juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Menggunakan bahasa yang dapat menerangkan dan memahamkan konsep dan falsafah kebenaran adalah matlamat utama kenapa Al-Quran menggunakan bahasa ibunda Arab sebagai pengantar untuk menjelaskan makna dan intisari ajaran Islam kepada bangsa Arab.

Surah Asy-Syura, ayat 7 bermaksud:

“Dan demikianlah Kami wahyukan Al-Quran kepadamu dalam bahasa Arab, agar engkau memberi peringatan kepada penduduk ibukota (Makkah) dan penduduk (negeri-negeri ) di sekelilingnya serta memberi peringatan tentang Hari berkumpul (Qiamat) yang tidak diragukan adanya. Segolongan masuk syurga dan segolongan masuk neraka.”

Bahawa bahasa yang tidak tercemar dengan makna dan faham yang terlepas dari konsep ketauhidan Allah dan membolehkan mesej asas Islam mengenai Ketuhanan disampaikan adalah punca kenapa Al-Quran memilih bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Lantaran itu Bahasa Melayu yang telah sarat melalui proses Islamisasi adalah bahasa yang paling wajar dijadikan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan Negara untuk menjayakan proses pembinaan tamadun Islam dalam masyarakat Malaysia.

Surah Yusuf, ayat 2 bermaksud:

“Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa Al-Quran berbahasa Arab, agar kamu mengerti.”

Surah Toha, ayat 113 bermaksud:

“Dan demikian Kami menurunkan Al-Quran dalam bahasa Arab dan Kami telah menjelaskan berulang-¬ulang di dalamnya sebahagian dari ancaman agar mereka bertaqwa atau agar (Al-Quran) itu memberi pengajaran bagi mereka.”

Surah Az Zumar, ayat 27-28 bermaksud:

“Dan sungguh telah Kami buatkan dalam Al-Quran ini segala macam perumpamaan bagi manusia agar mereka dapat pengajaran, iaitu Al-Quran dalam bahasa Arab, tiada ada kebengkokan (di dalamnya) agar mereka bertaqwa.”

Surah Fussilat, ayat 2-3 bermaksud:

“(Al-Quran ini) diturunkan dari Tuhan Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Kitab yang ayat¬ayatnya dijelaskan bacaan dalam bahasa Arab untuk kaum yang mengetahui.”

Surah Al-Zukhruf, ayat 3 bermaksud:

“Demi kitab (Al-Quran) yang jelas, Kami jadikan Al-Quran dalam bahasa Arab agar kamu mengerti.”

Semua ayat-ayat ini menjelaskan betapa bahasa ada kaitan dengan mesej risalah Islam yang disampaikan kepada manusia. Manakala bahasa Melayu yang sarat dengan konsep Islam dari Al-Quran diketepikan penggunaannya dalam pengembangan ilmu, maka kesan sekularisasi bahasa yang telah berlaku dalam sejarah pengembangan bahasa Inggeris yang sangat dipengaruhi oleh sejarah sekularisasi agama Kristian akan mempunyai impak kepada masyarakat Melayu Islam di Negara ini.

Oleh itu, Kami:

MENDESAK supaya pelaksanaan PPSMI hendaklah diberhentikan dan penggunaan bahasa Melayu kembali digunakan sebagai bahasa pengantar dalam semua matapelajaran kecuali dalam pengajaran bahasa yang lain, di seluruh institusi pendidikan di semua peringkat.

MENUNTUT agar kerajaan mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu untuk membentuk tamadun tinggi dalam masyarakat, sementara memberi ruang untuk pelajar mempelajari pelbagai bahasa lain untuk meningkatkan keupayaan menguasai pelbagai ilmu dari sumber bahasa yang lain.

MENDESAK agar tulisan jawi kembali diperkasakan dalam sistem pendidikan Negara termasuk mengalakkan urusan rasmi menggunakan tulisan jawi sebagai identiti negara.

MENEGASKAN bahawa pengajaran bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan kaedah dan pendekatannya, namun bukan dengan cara mengetepikan bahasa Melayu sebagai pengantar matapelajaran seperti yang dilaksanakan dalam PPSMI masakini.

MENGGESA supaya penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar hendaklah diperundangkan dan dikuatkuasakan dalam semua sektor Negara sama ada awam mahupun swasta.

MENEGASKAN bahawa pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia tidak boleh berdaleh dengan alasan pencapaiaan UPSR, PMR mahupun SPM untuk menjadi asas untuk meneruskan atau memberhentikan perlaksanaan PPSMI.

MENDESAK supaya pihak kerajaan tidak menggunakan dalil mencapai kemajuan bertaraf dunia sebagai alasan untuk meneruskan PPSMI kerana hujah ini sudah muktamad ditolak oleh perbandingan dan bukti dengan pelbagai Negara lain yang tidak mengutamakan bahasa Inggeris untuk mencapai kemajuan sesuata bangsa dan Negara.

MENGGESA agar seluruh warga pendidik dan waris pelajar-pelajar di semua institusi pendidikan Negara agar bersama bersatu untuk membantah pelaksanaan PPSMI.

KAMI DENGAN INI MENANDATANGANI MEMORANDUM ULAMA’ “MANSUHKAN PPSMI” INI SEBAGAI PENDIRIAN KAMI UNTUK MEMBELA MARTABAT BAHASA MELAYU DALAM SISTEM PENDIDIKAN DAN PENTADBIRAN NEGARA:

Delegasi:
1. Ustaz Abdul Ghani Samsuddin (Pengerusi, SHURA)
2. Hj. Mohd. Azmi Abdul Hamid (Presiden TERAS Pengupayaan Melayu)
3. Dr. Abdul Rahman Awang (Ahli Lembaga SHURA)
4. Prof. Shahrir Mohamad Zain (Timbalan Pengerusi, GMP)
5. Prof. Emeritus Abdullah Hassan (Naib Pengerusi, GMP)
6. Encik Hasni Abas (Setiausaha, GMP)
7. Ustaz Wan Ahmad Tarmiz Aziz (Pengerusi Persatuan Ponyokong Sekolah Agama Rakyat)
8. Tuan Hj. Salleh Abu Bakar (Ketua Penerangan TERAS)
9. Ustaz Azhan Ishak (Pengarah Pusat Motivasi At-Taqwa, Ipoh)
10. Muhammad Faisal Abdul Aziz (Naib Presiden, PKPIM)
11. Mohd. Saifullah b. Mohd Zulkifli (Aktivis, PKPIM)
12. Tuan Kassim Muhamad (Aktivitis, GMP)

Turut menanda tangani memorandum
13. Datuk Dr. Abdul Samad Mohamed Said (Sasterawan Negara)
14. Datuk Ustaz Abu Bakar Cik (Pengerusi, Asian Federation Muslim Youth)
15. Puan Ainon Mohd (AJK, GMP)
16. Abu Qassim Nor Azmi (Aktivis, PKPIM)
17. Ustaz Yusuf Mahmud (YDP, Persatuan Ulama’ Kedah)
18. YB Datuk Mahfuz Omar (Pengerusi, Inst. Pemb. dan Pengemblengan Komuniti – IMPAK)
19. Che Shamsuddin Othman – Dinsman (Pengerusi, PAKSI)
20. Hj. Mohammad Salleh Bakar (Ketua Penerangan TERAS)
21. Ustaz Hafiz Mustaffa Lubis (YDP Angkatan Belia Islam Malaysia, Kedah)
22. Uztaz Abu Khair Ayub (Maahad Tarbiyyah Islamiah, Derang, Kedah)
23. Dr. Khairuddin Datuk Abdul Malik (Pengerusi JAMA’IY)
24. Dr. Zaini Hamzah (Pengerusi, TERAS, Wilayah Persekutuan)
25. Dr. Syed Jamaluddin Syed Ali (Timb. Pengerusi TERAS, Selangor)
26. Ustaz Zulkifli Ibrahim (Timbalan Pengerusi JAMA’IY)
27. Ustaz Khairul Mustafa (Setiausaha, Persatuan Ulama’ Malaysia Wilayah Persekutuan)
28. Prof Madya Dr. Wan Salim Mohd Nor (YDP, Persatuan Ulama’ Malaysia, Pulau Pinang)
29. Ust. Awaluddin Jefry (YDP, Persatuan Ulama’ Malaysia, Johor)
30. Ustaz Dr. Arshad Taib (Ulama’ Perlis)
31. Ustazah Fauziah Thani (bekas Pengetua, Sekolah Menengah Agama Alawiyyah, Perlis)
32. Dr. Fadhlullah Jamil (Pengerusi, WADAH P. Pinang)
33. Datuk Abdul Halim Kader (YDP Persatuan Ulama’ Malaysia)
34. Hj. Hussin Ismail (Pengerusi, Yayasan Amal)
35. Dr. Abdul Rahman Ahmad (Pengerusi Wadah Pencerdasan Ummah, Kedah )
36. Ustazah Masadah Sajadi (Pengerusi, Majlis Bertindak Wanita Islam Malaysia)
37. Ustaz Tahir Ali (Ahli, Lembaga TERAS)
38. Hj. Ismail Wan Teh (Naib Pengerusi, WEHDAH)
39. Hj. Mutalib Rawther (Pengerusi, TERAS, Pulau Pinang)
40. Ustaz Muhammad Nabigh bin Abu Samah Al-Hashimi (Jabatan Pendidikan Islam UiTM)
41. Uztaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (Setiausaha, Institiut Penyelidikan dan Pengembangan Syariah, Malaysia – ISRA)
42. Dr. Kamaruzaman Yusuf (Ahli Ilmuan Islam UKM)
43. Ustaz Wahab (Muhammadiah Internasional)
44. Encik Kamal Syukri (Timbalan Presiden, Persatuan Linguistik Malaysia)
45. Encik Salman Siddiqiy Mohd Azmi (Jaringan Pemuda TERAS Nasioanal)
46. Ustazah Fatimah Ahmad (Pengerusi SALIMAH – TERAS)
47. Ustaz Azmi Bahari (Ketua Kurikulum dan Koperasi Maahad Tarbiah Islamiah, Perlis)
48. Hj. Jaafar Daud (Timbalan Pengerusi, TERAS Perlis)
49. Ustaz Mohd Shahimi bin Abdul Kemali (Pendidik MADI, Perlis)
50. Ustaz Rashid Muhammad (WADAH, Pahang)
51. Ustaz Abdul Wahab Nor Al-Haj (Ahli JawatanKuasa Pergerakan Pemerkasaan Tulisan Jawi PERAWI-TERAS)
52. Ustaz Khairuddin At Takiri ( Pengetua Darul Fuqaha, Bandar Baru Bangi)
53. Ustaz Abdul Sattar (Pendidik MADI, Perlis)
54. Shah Rizan Sazali (Pengerusi Ummah Aid)
55. Ustaz Kamaruddin Kassim (Pengerusi, Persatuan PRIHATIN)
56. Aziz bin Man (Pengerusi, Persatuan Kebajikan Warga Desa)

ihsan dari: Blog Bahasa dan Budaya

No comments:

Post a Comment