Tuesday

Pendidikan Jasmani

Dalam mendidik manusia, Islam mengambil kira hakikat kejadian manusia yang terdiri daripada jasmani, akal dan jiwa, tanpa mengabaikan sebarang bahagian pun. Dengan itu, Islam mendidik manusia secara menyeluruh - meliputi semua aspek kehidupannya sama ada jasmani, akal dan jiwa atau kehidupan yang bersifat maddi (material) dan maknawi (spiritual).

Pengabaian sebarang bahagian itu dikira menganiayai manusia sendiri dan boleh menyebabkan ketidakseimbangan sifat keinsanannya. Ia juga boleh menjejaskan hakikat sebenar kewujudannya di atas muka bumi. Ini akan menjejaskan taraf ubudiyah (perhambaan) manusia sebagai makhluk pilihan Allah SWT. Firman Allah dalam Surah ar-Rum, ayat 30 yang bermaksud:

“... (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) ad-din yang lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Islam menghimpunkan aspek makhsus, maddi, kerohanian dan akal secara bersepadu, memberi dan menyahut kehendak masing-masing secara adil dan saksama tanpa menzalimi sebarang aspek pun. Proses pendidikan yang melibatkan ketiga-tiga komponen itu berjalan secara berterusan hingga melahirkan kesedaran bahawa setiap komponen saling memerlukan antara satu sama lain. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya bagi badan kamu ada haknya ke atas kamu.”

Meneliti setiap ibadah di dalam Islam, kita akan dapati bahawa instisari pelaksanaannya sebenarnya menterjemah-kan hakikat pendidikan Islam yang bersifat wehdah mutakamilah (bersatu secara bersepadu). Dengan perkataan lain, aspek jasad, akal dan roh bergabung di dalam pelaksanaan sesuatu ibadah. Sebagai contoh, seorang muslim hanya akan mencapai peringkat khusyuk di dalam solatnya apabila berlaku kehadiran hati, persaksian akal dan kepatuhan anggota. Begitu juga dalam pelaksanaan ibadah lain seperti puasa, zakat dan haji. Semua memerlukan gabungan seluruh komponen insan muslim untuk membolehkannya mencapai matlamat ubudiyah yang sebenarnya kepada Allah SWT. Hakikat ibadah di dalam Islam tidak akan tercapai tanpa penglibatan ketiga-tiga fakulti insan muslim secara serentak sewaktu pelaksanaan ibadah tersebut. Penglibatan ketiga-tiga komponen itu juga perlu dalam konteks ibadah yang umum dan luas bagi menjayakan setiap amalan dan pekerjaan yang dilakukan iaitu kekuatan fizikal, mental dan spiritual.

Sistem bukan Islam juga menekankan penglibatan ketiga-tiga fakulti insan itu bagi menjayakan sebarang kegiatan. Bagaimanapun ia berbeza daripada Islam kerana dalam sistem itu, pembangunan aspek kerohanian tidak didasarkan kepada hakikat tauhid dan keyakinan kepada Allah SWT.

PENDIDIKAN ISLAM MELAHIRKAN KESEIMBANGAN

Keseimbangan antara ketiga-tiga aspek itu (roh, akal dan jasmani) merupakan sifat insan saleh. Keseimbangan itu akan melahirkan insan yang sempurna sifat kemanusiaannya, melahirkan keseimbangan dari segi keimanan kepada alam yang wujud dan alam yang ghaib. Keseimbangan itu juga akan melahirkan keseimbangan dalam kehidupan sama ada dari segi politik, ekonomi, kemasyarakatan dan semua kegiatan hidupnya. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 143 yang bermaksud:

“Dan begitulah Kami menjadikan kamu (umat Muhammad SAW) ummah yang adil (pilihan) agar kamu menjadi saksi di akhirat kelak ke atas umat yang lain dan Rasulullah SAW menjadi saksi ke atas kamu.”

Keistimewaan sistem pendidikan Islam ialah kemampuannya untuk melahirkan insan saleh yang memiliki sifat-sifat ijabiah (positif) yang menguasai setiap tindakannya di dalam kehidupan di muka bumi ini. Namun, tidak dinafikan sifat-sifat salbiyah (negatif) seorang muslim sering cuba mempengaruhinya. Bagaimanapun, hasil pendidikan Islam yang bersepadu meliputi ketiga-tiga komponen di atas menjadikannya mampu bertindak positif atau menghasilkan tindakan yang positif di dalam semua keadaan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sungguh menghairankan keadaan orang mukmin. Sesungguhnya semua keadaan baik baginya. Tidak ada (keadaan itu) pada orang lain kecuali pada orang mukmin. Jika ia mendapat sesuatu yang menggembirakan dia bersyukur kepada Allah SWT, maka yang demikian itu adalah baik baginya. Jika ditimpa kesusahan dia bersabar, maka yang demikian itu adalah baginya.”

Manusia adalah makhluk yang mempunyai pelbagai persediaan. Ada yang bersifat positif dan ada pula yang bersifat negatif. Sekiranya persediaan tersebut dibiarkan tanpa kawalan, bimbingan dan didikan yang mengambil kira ketiga-tiga aspek keinsanan itu, maka natijahnya akan berlakulah ketidakseimbangan dan akan lahirlah sifat-sifat yang kadangkala positif dan kadangkala negatif. Dengan perkataan lain lahir sikap ‘double standard’ dalam tindakannya.

Dalam sistem pendidikan Islam, makhluk insan mempunyai jisim dan roh, hati dan akal, perasaan dan jasad. Seseorang muslim tidak akan berjaya, merasai bahagia dan tidak membangun secara adil dan saksama melainkan setelah semua unsur diberi hak pendidikan yang sama rata dan adil pula.

Rujukan:
SISTEM PENDIDIKAN ISLAM: UNIK DAN PRAKTIK, Majalah Haluan Bil 8 Edisi 96

No comments:

Post a Comment