Tuesday

Elak M'sia dapat imej 'kilang diploma'

Sep 15, 09 7:40pm

Semua institusi pengajian tinggi (IPT) negara perlu terlebih dahulu menghalusi kualiti dan kelayakan pelajar, khususnya dari luar negara sebelum menerima permohonan mereka melanjutkan pelajaran di negara ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata lambakan pelajar asing di IPT negara ini menyebabkan Malaysia digelar sebagai pembekal ijazah tidak berkualiti atau "kilang diploma" di beberapa forum antarabangsa.

Katanya tohmahan seumpama itu harus dikekang kerana ia menjatuhkan imej dan martabat sektor pendidikan tinggi negara.

"Kementerian tidak mahu mana-mana IPT menerima pelajar tidak berkelayakan, terutama dari luar negara untuk mengikuti program yang ditawarkan.

"Malah mulai tahun depan demi untuk menjaga nama baik, imej dan reputasi, semua IPTS tidak boleh menawarkan sebarang program yang tidak memiliki akreditasi kepada para pelajar antarabangsa," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan ketua pegawai eksekutif IPT-IPT swasta di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.


Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata Malaysia ditohmah sebagai "kilang diploma" di beberapa forum antarabangsa selepas didakwa mudah mengeluarkan ijazah kepada para pelajar asing walaupun mereka tidak berkelayakan.

"Kerana itu kita mahu, IPTS ini membaiki sistem pengurusan akademik mereka dan melalui proses penarafan. Dalam soal beri gelaran profesor, penerimaan pelajar dan penawaran kursus, Malaysia tidak seharusnya menjadi tempat lambakan untuk para pelajar yang tidak diterima di IPT lain.

"Hanya kerana ada duit, maka mereka diberi tempat di IPTS negara ini," katanya.

Kelayakan minimum kemasukan pelajar di IPTA, jelas Mohammad Khaled ialah CGPA 2.0 dan beliau pasti semua IPTS akan mengenakan syarat seumpama itu dalam menerima kemasukan pelajar pada masa hadapan.

"Memang sekarang mereka (IPTS) tidak mengenakan syarat ini, tapi saya pasti apabila kita kemukakan perkara ini, mereka akan berbincang untuk menentukan kelayakan minimum dalam menerima kemasukan pelajar," katanya.

Terdahulu, beliau berkata kementerian memulakan langkah transformasi sistem pendidikan tinggi negara kerana transformasi kerajaan tidak akan lengkap jika ia tidak dituruti oleh industri pengajian tinggi.

Transformasi sektor pendidikan, katanya diharap mampu meletakkan transformasi negara di landasan yang betul bagi membolehkan Malaysia berhadapan dengan soal kemajuan dan pembangunan, sekaligus berjaya menghadapi pelbagai saingan era globalisasi.

Mohammad Khaled berkata proses transformasi itu dimulakan dengan penyediaan pelan strategik IPTA mencakupi pelaksanaan projek agenda kritikal sebelum fokus diberikan kepada sektor IPTA, termasuk pindaan terhadap Akta Insitusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555).

"Pindaan ini menjadikan kementerian sebagai pemudah cara untuk memenuhi keperluan yang dikehendaki oleh IPTS dan kita berharap IPTS ini dapat memberi perhatian serta mematuhi peruntukan yang terkandung dalam Akta 555 ini," katanya.

Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment