Wednesday

Padang: Senyuman Mukmin Pengubat Duka....

Seorang sahabat, yang juga merupakan Pengamal Perubatan dari Haluan mencatatkan pengalaman di Padang dalam Misi Kemanusiaan Padang Pasukan Kedua;


Catatan MK Padang 2

Hari pertama 14/10/09 kami terus dibawa ke sebuah desa di kawasan pendalaman iaitu Desa Batu Mengaum. Kehadiran team Perubatan Haluan memang dinanti-nantikan. Wajah mereka kelihatan sugul dan muram terutama dikalangan org dewasa.Rumah mereka rosak atau roboh. Tiada yang selamat. Mereka tinggal hanyalah didalam khemah-khemah dan dibawah runtuhan atap zing. Bila hujan turun, keadaan yang menjadi lebih sulit. Makanan pula, mereka sudah puas memakan mee segera. Mereka inginkan beras. Sedangkan bila nak membeli beras mereka tiada wang. Bagi kanak-kanak apalah yang mereka tau, mereka tetap ceria dan ketawa.

Klinik bergerak Haluan dibuka dari jam 3.00 ptg dan berakhir pada jam 10.00 malam. Jumlah pesakit yang dirawati adalah 150 orang. Sememangnya team kami berazam untuk memberi yang terbaik kepada penduduk kampung. Kami sentiasa ceria melayan kerenah mereka dan kanak-kanak.


Ada ketikanya perlukan kesabaran yang tinggi. Mana tidaknya, selepas ubat diberi, ada yang minta punya ubat untuk ibu dirumah, lepas selesai, minta pula ubat cacing untuk anak. Terasa memang geram…tapi bila ingatkan kembali kita membawa risalah dakwah, saya tukarkan mental setting dari perasaan geram kepada perasaan kasih-sayang dan simpati. Bila saya berikan semua ubat yang diminta saya pun tanya dia “ Macam mana ibu..sudah puas hati? “ Dia pun menjawab “Sangat puas hati pak..terima-kasih Pak…” Dia terus berlalu dari situ sambil tersenyum puas. Saudara Zailani (Ketua) sungguh cekap bagi mengurus perjalanan klinik. Beliau seorang yang berpengalaman di dalam pengurusan misi kemanusian. Beliau pernah menyertai misi kemanusiaan Haluan ke Acheh dan Jogjakarta, sementara saudara Amri pernah mengikuti misi kemanusiaan Haluan di Pakistan, Saudara Amri dan Saudara Azmi menjawat jawatan sebagai dispenser sementara saudara Hafiz (Haluansiswa) sebuk menjadi jurugambar kami.

Apabila menjelang maghrib, klinik ditutup sebentar. Kami dipelawa untuk menunaikan solat maghrib dirumah seorang penduduk berhampiran dengan klinik. Nasibnya agak baik kerana rumahnya hanya mengalami beberapa keretakan kecil.Saya kagum cara dia melayan kami. Dari percakapannya bolehlah dibuat kesimpulan yang dia amat gembira dengan rawatan dari kami (orang Malaysia). Klinik kemudiannya diteruskan sehingga jam 10 malam.

Seorang penduduk wanita datang mendekati kami. Dia merupakan antara yang aktif menguruskan penduduk kampung untuk mendapatkan rawatan. Dia kata “Kami sudah lama ngak senyum pak…tapi hari ini kami boleh tersenyum…” Dari raut wajahnya memang dia nampak ceria. Saya bertanya balik kenapa kata begitu.Dia jawab “ Sebab semua bapak disini baik-baik dan selalu tersenyum…kami senang sekali.” Terlintas difikiran, rupa-rupanya senyuman kita pun boleh menghilangkan stress dan membuat orang lain tersenyum

Sebelum berangkat pulang, seorang kanak-kanak menyelinap masuk menaiki kenderaan kami. Dia tidak mahu turun walau beberapa kali telah dipujuk. Semua orang ketawa melihat telatah budak itu. Kemudian kenderaan kami bergerak. Terasa sebak didada…kita kembali menuju kemewahan hidup. Sedangkan mereka terus tinggal diselimut penderitaan. Rumah tiada, makan pun susah. Siapalah yang sudi membantu mereka. Kita hanya bersimpati, tapi pernahkah kita menghulurkan sedikit wang untuk membantu mereka, melihat anak-anak menangis. hati terasa sayu....

Kami memang keletihan, keringat pun masih belum kering, perut pun dah terasa lapar. Dalam hati kami ada kepuasan, nikmatnya berada dijalan Allah. Perjalanan yang penuh dengan tarbiyah, makna sebuah kasih-sayang, pengorbanan dan kesabaran dalam menempuh ujian. Teringatkan maksud firman Allah "Berangkatlah kamu sama ada di dalam keadaan senang atau susah dan berjihadlah dengan harta dan jiwa kamu dijalan Allah.." Saya terlalu bersyukur kerana terpilih mengikuti misi kali ini. Sebelum datang ke Pariaman saya selalu berdoa kepada Allah agar dipilih mengikuti misi ini. Syukur kepada Allah hajat saya termakbul.

No comments:

Post a Comment