Saturday

Cerita Pelajar Pintar dengan Pendayung Sampan

Ilmu Yang Menyelamatkan Manusia

Kisah ini diceritakan oleh AlMarhum Syed Abul Hasan Ali AnNadwi di dalam bukunya "Konsep Kenabian" yang terbitkan oleh Pustaka Antara tahun 1990.

Pada satu hari, beberapa orang pelajar keluar untuk menaiki perahu. Hari itu cuaca amat baik, angin bertiup sepoi-sepoi bahasa dan budak-budak lelaki itu mempunyai mood untuk berjenaka, apa lagi si pendayung perahu itu juga seorang yang peramah.

Seorang pelajar yang terpandai di kalangan rakan-rakannya bertanya kepada pendayung itu, "Pak cik, bidang seni dan sains apa yang pernah pak cik pelajari?"

"Saya tidak pernah belajar apapun," jawab pendayung itu dengan tenang.

Dengan perasaan kasihan terhadap kejahilannya, pelajar itu menyambung, "Apakah pak cik tidak pernah belajar apa-apa bidang sains?"

Kata pendayung itu lagi, "Saya tidak pernah mendengar namanya pun."

Seorang pelajar lain yang tidak mahu ketinggalan untuk mengusik pendayung itu bertanya pula, "Tetapi, pak cik tentu tahu serba sedikit tentang algebra dan geometri."

"Encik, saya tidak pernah mendengar perkataan-perkataan itu," jawabnya dengan rasa rendah diri.

"Tetapi, pak cik tentu dah belajar geografi dan sejarah," tanya yang seorang lagi.

"Apa bendanya tu? Nama orang ke, nama Bandar?"

Pelajar-pelajar itu ketawa besar mendengar kata-kata pendayung tersebut dan salah seorang mereka bertanya, "Berapa umur encik?"

Pendayung itu memberitahu, usianya lebih kurang 40 tahun. "Pak cik telah membazirkan separuh dari usia pak cik," komen salah seorang pelajar itu.

Pendayung perahu itu merasa tersinggung, tetapi dia hanya berdiam diri. Bagaimanapun Tuhan mahu memberi pengajaran kepada pelajar-pelajar itu. Apabila perahu itu sudah jauh di tengah laut, mereka terperangkap dalam putaran air.

Perahu yang dinaiki bergoyang dan berpusing-pusing. Pelajar-pelajar itu merasa takut kerana itulah kali pertama mereka menghadapi gelombang laut. Kini tiba pula giliran pendayung perahu itu, dengan serius dia bertanya, "Apakah bidang-bidang sains yang telah kamu pelajari?"

Pelajar-pelajar muda dan tidak matang itu mula mengira mata pelajaran yang telah mereka pelajari. Setelah habis menghitung, pendayung itu tersenyum dan bertanya, "Tak apalah, tetapi sudahkah kamu semua belajar berenang? Sekiranya perahu ini terbalik, bagaimana kamu nak selamatkan diri?"
Tidak seorang pun pelajar itu tahu berenang. "Tidak pernab terlintas di fikiran kami untuk mempelajarinya," jawab mereka dengan muka yang muram.

Pendayung itu ketawa dan berkata, "Seperti yang kamu katakan tadi, saya membazirkan separuh hidup saya, tetapi kamu telah memusnahkan seluruh hidup kamu. Tidak ada satu pun bidang seni dan sains yang kamu pelajari itu dapat menyelamatkan nyawa-nyawa kamu kerana kamu tidak tahu bidang seni yang mungkin menyelamatkan nyawa kamu hari ini!"

Cerita ini tepat sekali bagi menggambarkan kejatuhan kesemua kaum-kaum yang maju dan berbudaya tinggi. Mereka biasanya mempelajari dan memperkembangkan kesemua bidang ilmu, membuat penemuan-penemuan mengenai rahsia-rahsia alam dan khazanah-khazanah bumi serta membentuk cara-cara baru untuk menambahkan kuasa. Tetapi mereka membelakangkan bidang ilmu utama yang membuka pintu kepada ilmu Tuhan/ ilmu kerohanian. Ilmu yang memberitahu mereka bagaimana untuk mendapat keredaan Allah, yang membawa kesejahteraan dan kemenangan, mengajar akhlak mulia, menyeJcat nafsu-nafsu jahat, menggalakkan perbuatan baik serta membentuk perasaan takwa kepada Allah. Inilah nilai-nilai yang amat diperlukan untuk mengekalkan masyarakat ke jalan yang lurus dan mengawal mereka dari kejahatan, kemunduran dan kezaliman. Hanya inilah dapat membantu manusia mengenal keutamaan hidup di akhirat dan berlaku adil terhadap orang lain. Ia dapat mengawal sikap bongkak dan sombong yang berpunca dari hawa nafsu dan sikap tamak, menjadikan mereka lebih sabar, berdisiplin dan .tuk menghentikan segala usaha-usaha yang tidak berguna, lagi membinasakan diri mereka sendiri.

Gambaran kaum-kaum yang menganggap diri mereka maju dan menghina nabi-nabi kerana tidak memahami bidang-bidang ilmu yang mereka pelajari ketika itu, diceritakan oleh Allah dalam al-Quran:

"Maka tatkala datang kepada mereka rasul-rasul (yang diutus kepada) mereka dengan membawa keterangan-keterangan, mereka merasa gembira dengan pengetahuan yang ada pada mereka dan mereka dikepung oleh azab Allah yang selalu mereka memperolok-olokkan itu. " (Quran Surah Al Mukmin: 83)


Sumber:
Syed Abul Hasan Ali Nadwi, Konsep Kenabian (alihbahasa Oleh Noorzila Jamaluddin dan aliah Abdul Rahim) Pustaka Antara, 1990.

No comments:

Post a Comment