Thursday

Perumpamaan Bagi Mukmin yang Baik

Seorang pendakwah yang juga seorang Pakar Bedah Tulang Belakang di Hospital Raja Zainab II Kota Bharu menyampaikan tazkirah di surau Taman Permai Demit pada malam 17 Ramadhan 1431 berdasarkan kepada sebuah hadis riwayat al Baihaqi yang bermaksud:


"Perumpamaan seorang mukmin itu seperti kepingan emas, kalau engkau tiupkan api kepadanya ia akan menjadi merah (semakin bersinar) dan engkau menimbangnya tidaklah ia berkurang."(HR al Baihaqi)

Emas merupakan sejenis logam yang sangat disukai oleh manusia dari zaman dahulu hingga ke zaman mutakhir ini kerana sifat dan kualitinya yang tinggi. Begitulah sewajarnya sifat dan kualiti seorang mukmin, seumpama emas kualiti mukmin tidak akan terjejas apabila diuji malah semakin meningkat. Mukmin seharusnya mampu istiqamah dan memiliki pendirian yang kuat dalam mempertahankan nilai-nilai Islam. Ke mana sahaja ia pergi atau ia berada, ia tetap dalam keadaan bertaqwa kepada Allah SWT. Dalam hadis yang lain Rasulullah saw bersabda;

"Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana saja kamu berada, dan iringilah keburukan dengan kebaikan. Maka ia dapat menghapuskannya, dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik," (HR ath Thabrani).

Selain dari mengumpamakan mukmin seperti emas, Rasulullah juga membuat beberapa perumpamaan lain terhadap mukmin, antara lain ialah mukmin bagaikan pohon, mukmin seperti bangunan dan mukmin bagaikan tubuh yang satu.

Sama seperti sebuah pohon, mukmin tidak dapat mengelak diri daripada berdepan dengan ujian sentiasa mendatang tanpa henti. Sabda Rasulullah saw;

"Perempumaan seorang mukmin adalah seperti pohon. angin selalu menerpanya sehingga ia miring ke kiri dan ke kanan. Seorang mukmin sentiasa mengalami cubaan." (HR at Tirmidzi)

Ujian merupakan satu kepastian yang harus dihadapi oleh setiap mukmin, di mana dengannya akan terbukti mutu dan kualiti keimanan seseorang. Allah SWT menegaskan perkara ini dalam firmanNya;

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, 'Kami telah beriman', dan mereka tidak diuji? Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta." (al 'Ankabuut: 2 -3)

Perlu juga disedari bahawa terdapat dua bentuk ujian iaitu dalam bentuk kesusahan dan juga dalam bentuk kesenangan. Seorang mukmin sekali-kali tidak akan berputus asa apabila diuji dengan kesulitan hidup, dan tidak akan lupa diri bila diuji dengan kesenangan hidup berupa harta, kuasa, wanita, ilmu pengetahuan,nama  (populariti), kemenangan, kejayaan dan sebagainya. Firman Allah SWT;

"Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepad Kami." (al Anbiyaa': 35)

 Kejayaan menghadapi ujian-ujian menjadikan seorang mukmin manusia yang hebat, malah Rasulullah kagum terhadapnya seperti yang dinyatakan dalam hadisnya;

"Aku kagum terhadap seorang mukmin. Bila ia memperolehi kebaikan dia memuji Allah dab bersyukur. Bila ditimpa musibah, dia memuji Allah dan bersabar. Seorang mukmin diberi pahala dalam segala hal, walaupun dalam sesuap makanan yang diangkatnya ke mulut isterinya." (HR Ahmad dan Abu Dawud)

Perumpamaan ketiga yang dibuat oleh Rasulullah ke atas mukmin ialah seorang mukmin dengan mukmin yang lain bagaikan bangunan. Rasulullah saw bersabda;

"Seorang mukmin dengan mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, saling menguatkan antara satu sama lain." (HR Bukhari dan Muslim)

Anjuran berkerjasama dan teratur ini bukan sahaja dalam aktiviti kemasyarakatan tetapi dalam situasi kritikal seperti peperangan, malah mendapat cinta Allah sebagaimana firmanNya;

"Sesungguhnya allah mencintai orang-orang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh." (ash Shaff: 4)

Perumpamaan keempat bagi mukmin ialah orang-orang mukmin adalah ibarat satu tubuh dari segi saling mencintai dan kasih sayang. Sabda Rasulullah saw;

"Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai dan berkasih sayang adalah ibarat satu tubuh. Apabila satu organnya merasa sakit, maka seluruh tubuh akan sukar tidur dan merasa demam." (HR Muslim)


Sumber:

53 Materi Khutbah Berangka, Drs H Ahmad Yani

No comments:

Post a Comment