Monday

Peranan Pemuda Alaf Baru

Rasulullah SAW bersabda :
Ada tujuh golongan yang bakal dinaungi oleh Allah di bawah naungan-Nya, pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya, iaitu: Pemimpin yang adil, pemuda yang tumbuh dengan ibadah kepada Allah (selalu beribadah), seseorang yang hatinya bergantung kepada masjid (selalu melakukan solat jemaah di dalamnya), dua orang yang saling mengasihi di jalan Allah, keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang yang diajak perempuan berkedudukan dan cantik (untuk berzina), tapi ia mengatakan: Aku takut kepada Allah, seseorang yang memberikan sedekah kemudian merahsiakannya sampai tangan kanannya tidak tahu apa yang dikeluarkan tangan kirinya dan seseorang yang berzikir (mengingati) Allah dalam bersendirian, lalu menitiskan air mata dari kedua matanya. ( H.R. Bukhari dan Muslim )

Pemuda-pemuda telah memainkan peranan yang penting dalam kebangkitan Islam dari zaman generasi Al Quran hinggalah kepada zaman mutakhir kerana pada usia muda usia yang dipenuhi dengan idealisma. Selepas kejatuhan khilafah Islamiah di Turki, bangkit seorang pemuda bernama Hassan Al Banna pada tahun 1928 ketika umurnya hanya 23 tahun. Beliau berusaha menyedar, membina dan menggerakkan jiwa umat Islam yang telah mati. Kini pemuda-pemuda baru lahir di Tunisia, Libya, Mesir, Jordan, Syria dan pelbagai negara umat Islam menyambung tugasan beliau setelah beliau tinggalkan apabila dipanggil pulang oleh Rabbul Jalil pada 12 Februari 1949.

Kebangkitan pemuda-pemuda hari ini untuk merubah sistem masyarakat tidak dapat tidak perlu kepada bimbingan ulamak-ulamak dan guru-guru mursyid yang boleh bersama-sama dengan mereka. Justeru itu Dr Yusof Al Qardhawi menasihati pemuda-pemuda Islam

1.Hormati kepakaran seseorang
2.Ambil ilmu dari orang yang wara' dan sederhana.
3.Permudahkan dan jangan menyusahkan.
4.Menyeru manusia dengan bijaksana dan baik.
5.Bergaul bersama orang ramai.
6.Berbaik sangka kepada orang-orang Islam.

1.Hormati kepakaran seseorang

Setiap ilmu ada ahlinya dan setiap kepandaian ada orangnya. Sesungguhnya AlQuran dan As Sunnah mengajar kita supaya merujuk kepada pakar dan ahli setiap bidang dalam perkara-perkara yang tidak kita ketahui.

Maksud firman Allah;
maka bertanyalah kamu kepada Ahli ilmu jika kamu tidak mengetahui.
(Al Anbiya: 7)

Dalam seerah telah berlaku peristiwa di mana seorang sahabat yang meninggal dunia akibat dari mandi junub dalam keadaan luka. Apabila perkara ini sampai kepada pengetahuan RAsulullah saw, baginda bersabda:

"Mereka membunuhnya, Allah membunuh mereka. Mengapa mereka tidak bertanya sekiranya mereka tidak tahu? Sesungguhnya penawar bagi kelemahan itu ialah bertanya."


2.Ambil ilmu dari orang yang wara' dan sederhana.

Apabila tiap-tiap ilmu itu ada ahlinya, maka pemuda perlu mengambil ilmu syar'iy dari ulamak-ulamak yang thiqah, iaitu yang berhimpun pada mereka keluasan ilmu, warak dan sederhana.

Tidak akan diterima ilmu dari seorang 'alim selagi ia tidak mengamalkan ilmunya. Inilah yang diistilahkan dengan warak. Asasmnya ialah takut kepada Allah yang merupakan buah ilmu yang benar, sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah ulama."
(QS Faatir: 28)


3.Permudahkan dan jangan menyusahkan.

Apabila berhadapan dan berurusan dengan orang awam, pemuda-pemuda hendaklah memudahkan dan menghindarkan diri daripada keterlaluan dan keras. Islam mengamjurkan seseorang mengambil pendapat yang lebih ihtiyat ('azimah) dan selamat dalam masalah-masalah tertentu. Akan tetapi kalau meninggalkan rukhsah dalam semua perkara, maka jadilah agama ini hanya himpunan pemdapat-pendapat yang ihtiyat yang menggambarkan kesempitan dan kesukaran. Walhal Allah menghendaki kelapangan dan kemudahan bagi hambanya. Firman-firman Allah yang bermaksud:

"Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesempitan bagimu."
(Q.S. Al Baqarah 185)

"Allah tidak menhendaki untuk menyulitkan kamu."
(Q.S. Al Maidah 6)

"Allah hendak memberikan keringan kepada kamu, kerana manusia dijadikan bersifat lemah."
(Q.S. An Nisaa 28)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa seorang Arab Badwi telah kencing dalam masjid, lantas orang ramai bangun hendak memukulnya, tetapi Nabi saw bersabda:
"Biarkan dia dan tuangkan oleh kamu ke atas kencingnya satu timba air, kerana kamu diutus adalah untuk memudahkan bukan untuk menyukarkan."
(H.R. Bukhari)

Tatkala Muaz memanjangkan bacaan sembahyang bersama umat Islam, Nabi saw bersabda kepadanya;
"Adakah engkau hendak membuat fitnah hai Muaz? Diulang-ulangnya tiga kali."

Mengambil 'azimah bagi keseluruhan manusia akan memberakan mereka dan menumbulkan fitnah. Tetapi bagi amal individu adalah harus baginya untuk mengambil 'azimah bagi tujuan sempurna dan berhati-hati sebaliknya bagi masyarakat umum tidak harus baginya untuk mengelakkan dari mereka lari dari agama Allah.

Saranan Nabi saw dalam hadis yang bermaksud:
"Apabila sembahyang salah seorang kamu bersama orang ramai, maka hendaklah ia meringankannya, kerana di antara mereka itu ada orang lemah, orang sakit dan orang tua, dan apabila salah seorang kamu sembahyang untuk dirinya, maka hendaklah ia memanjangkannya mengikut kemauannya." (Hadis Muttafaqun 'alaihi)


4.Menyeru manusia dengan bijaksana dan baik.

Firman Allah yang bermaksud:
"Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan berbincanglah dengan mereka dengan cara yang lebih baik."
(Q.S Ah Nahl: 125)

Pendakwah yang bijaksana akan menyampaikan dakwah kepada orang lain dengan cara yang lemah lembut dan kata-kata yang paling manis dengan tidak mencuaikan sedikitpun isi kandungannya.

Seorang lelaki telah menggesa Khalifah Al Makmum (Abbasiah) supaya melakukan amar makruf dan nahi mungkar dengan menggunakan tutur kata yang kesat dan kasar. Khalifah Al Makmum telah menegur lelaki tersebut: Hai saudara, berlemah-lembutlah kerana Allah telah mengutus orang lebih baik dari engkau kepada orang yang lebih buruk dari saya dan Allah menyuruhnya dengan lemah lembut. Allah telah mengutus Musa dan Harun di mana keduanya lebih baik dari engkau kepada Fir'aun yang lebih buruk daripada saya, dan menasihatkan keduanya dengan firmanNya yang bermaksud:
"Pergilah kamu berdua kepada Fir'aun, sesungguhnya dia telah melewati batas. Maka berbicaralah kamu berdua, kepadanya denga kata-katanya yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut."
(Q.S. Thaha: 42-43)

Adab dakwah dan perbincangan

a.Wajib menjaga hak kedudukan dan silaturrahim
Tidak boleh menghadapi ibubapa dan saudara mara dengan kasar semata-mata mereka telah melakukan maksiat. Perbuatan-perbuatan mereka tidak mengugurkan hak mereka sebagai ibubapa dan saudara-mara.
Firman Allah yang bermaksud:'Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutu dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik." (Q.S. Lukman:15)

b.Menjaga hak perbezaan usia
Menghormati orang-orang tua dan menyayangi orang-orang yang lebih muda sebagaimana anjuran Nabi saw dalam hadisnya yang bermaksud:"Bukanlah dari golongan kami orang yang tidak mengasihi anak-anak kita, dan tidak menghormati orang-orang tua kita, dan tidak mengakui orang 'alim kita."

c.Menjaga hak orang yang terdahulu dalam perjuangan
Rasulullah saw dan para sahabat meletakkan dan memuliakan taraf orang-orang Islam mengikut senioriti seperti ahli-ahli badar.


5.Bergaul bersama orang ramai.

Para pemuda dan dai mestilah turun dari idealisma kepada dunia realiti agar mereka dapat hidup bersama orang ramai, rakyat jelata, penduduk, profesional, petani, buruh dan lain-lainnya dari lorong-lorong di bandar-bandar besar hinggalah ke ceruk-ceruk kampung yang miskin, di sana mereka akan menemui fitrah yang sejahtera, hati yang luhur dan tubh yang penat dan sarat dengan pekerjaan.


6.Berbaik sangka kepada orang-orang Islam.

Para pemuda dan dai mestilah memandang umat Islam dengan optimis dan sangka baik. Perkara-perkara yang dapat membantu optimis dan bersangka baik ialah:
a. Menerima hakikat bahawa mereka adalah manusia biasa.
b. Kita diperintah menghukum perkara-perkara zahir dan meyrahkan kepada Allah urusan yang tersembunyi.
c. Setiap orang yang beriman dengan Allah dan Rasulnya tidak akan kosong hatinya daripada kebaikan walaupun pada zahirnya ia bergelumang dengan maksiat dan terlibatpada dosa-dosa besar.

Rujukan:
1.Fathi Yakan, Generasi Muda dan Perubahan
2.Dr Yusuf Al Qardhawi, Kebangunan Islam Di Antara Tentangan dan Ekstrimisma.

No comments:

Post a Comment