Tuesday

YPPB mahu lahir 3,500 akauntan bumiputera menjelang 2020

KUALA LUMPUR 10 April - Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) mahu mengeluarkan seramai 3,500 akauntan bumiputera bertauliah dalam tempoh enam tahun bagi membantu negara mencapai status negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, jumlah itu bagi menampung keperluan akautan dalam negara dianggarkan seramai 60,000 orang pada tahun tersebut. 

Bagi mencapai matlamat itu ujarnya, YPPB yang mendapat jaminan dalam bentuk tunai dan bukan tunai daripada pelbagai agensi, dijangka membelanjakan sebanyak RM140 juta untuk melaksanakan pelbagai program dalam tempoh tersebut. 

Menurutnya, usaha yang dilakukan oleh YPPB bakal membantu usaha kerajaan mengeluarkan lebih ramai akauntan bertauliah termasuk bumiputera bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir dalam negara. 


 "Di peringkat kerajaan, kita bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk membolehkan lebih ramai generasi muda menceburi profesion perakaunan yang menguntungkan pada masa hadapan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi pertemuan dengan akauntan dalam sektor awam dan swasta anjuran YPPB di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif YPPB, Raja Azura Raja Mahayuddin. Abdul Wahid berkata, usaha juga terus dilakukan bagi menukar pemikiran generasi muda bumiputera supaya menceburi bidang perakaunan seterusnya menjadi akauntan bertauliah.

Katanya, lebih ramai pelajar bumiputera perlu digalakkan menyertai sektor terbabit memandangkan sehingga Jun 2013 hanya terdapat lapan peratus atau 1,464 akauan bumiputera daripada 19,062 akauntan bertauliah di negara ini.

Sementara itu, Raja Azura berkata, meningkatkan bilangan akauntan bumiputera bertauliah menjadi satu daripada tumpuan yayasan itu sejak ditubuhkan pada 2012.

"Jika kita ingin memenuhi aspirasi negara untuk kemajuan ekonomi dan mencapai status negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020, kita perlu pastikan kita mempunyai bilangan tenaga kerja profesional dalam bidang perakaunan yang mencukupi," katanya.

No comments:

Post a Comment